KUALA LUMPUR: Dianggarkan 60 peratus kanak-kanak berumur 12-17 tahun di negara ini yang menggunakan internet tidak menerima pendidikan seks.

Manakala, 29 peratus kanak-kanak menunjukkan mereka menerima pendidikan seks; dan 11 peratus lagi tidak tahu atau lebih memilih untuk tidak bercakap.

Perkara tersebut antara yang didedahkan dalam laporan Disrupting Harm di Malaysia: Bukti mengenai eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian (OCSEA) melalui tinjauan terhadap isi rumah.

Laporan tersebut turut melibatkan 995 kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam lingkungan usia sama, yang dijalankan dengan kerjasama organisasi Hentikan Pemelacuran dan Pemerdagangan Kanak-Kanak (ECPAT) Antarabangsa, Polis Antarabangsa (Interpol), serta Jabatan Penyelidikan Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) - Innocenti.

,

Data turut menunjukkan bahawa kanak-kanak terutamanya yang lebih tua dan tinggal di kawasan luar bandar kemungkinan enggan untuk mendapatkan maklumat dan nasihat berkaitan seks daripada orang dewasa dan bergantung kepada rakan sebaya mereka.

"Pendidikan seksualiti yang komprehensif harus meliputi OCSEA dan bagaimana teknologi memainkan peranan dalam penderaan dan eksploitasi seksual kanak-kanak dan melengkapkan kanak-kanak tersebut untuk mengenali interaksi-interaksi yang tidak sesuai dalam talian dan luar talian.

"Program-program hendaklah bersesuaian dengan umur, sensitif jantina dan memberikan maklumat yang tepat. Program harus dipantau dan dinilai oleh pakar perlindungan kanak-kanak," menurut laporan tersebut yang disiarkan hari ini.

Selain itu, empat peratus daripada kanak-kanak yang berumur antara 12 dan 17 tahun di negara ini dilapor mengalami ancaman OCSEA ketika menggunakan internet.

Ancaman eksploitasi dan penderaan seksual itu termasuk melibatkan peras ugut untuk terlibat dalam aktiviti seksual; imej seksual dikongsi tanpa kebenaran; atau dipaksa melakukan aktiviti seksual melalui janji wang atau hadiah.

Laporan Disrupting Harm di Malaysia

Berdasarkan laporan juga, 91 peratus kanak-kanak mengakses media sosial setiap minggu, dengan 99 peratus mengakses internet di rumah dan 57 peratus di sekolah.

"Tawaran wang atau hadiah kepada kanak-kanak sebagai balasan untuk imej atau video seksual merupakan keterangan pengantunan (eksploitasi kanak-kanak) dengan tujuan mendapatkan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

"Antara kanak-kanak yang menggunakan internet yang ditinjau, dua peratus atau 17 kanak-kanak mengatakan bahawa seseorang telah menawarkan wang atau hadiah kepada mereka sebagai balasan untuk imej atau video seksual dalam tempoh setahun yang lalu.

"Tiga peratus (25 kanak-kanak) menyatakan bahawa seseorang telah berkongsi imej seksual mereka tanpa kebenaran, manakala dua peratus (15 hingga 17 tahun) menerima duit atau hadiah sebagai pertukaran untuk imej atau video seksual.

"Selain itu, satu peratus (13 kanak-kanak) masing-masing menyatakan seseorang menawarkan wang atau hadiah untuk bertemu secara fizikal bagi melakukan sesuatu yang seksual dan diugut untuk melakukan seksual," tambah laporan itu lagi.

Selain itu, kajian berkenaan mendapati WhatsApp dan Facebook Messenger menjadi platform yang popular untuk menyasarkan kanak-kanak terhadap ancaman OCSEA, dengan masing-masing sebanyak 56 peratus dan 38 peratus, manakala Instagram (22 peratus).

"Antara kanak-kanak yang telah ditinjau untuk Disrupting Harm, sembilan peratus (85 kanak-kanak) mengatakan bahawa seseorang telah menghantar imej atau video seksual yang mereka tidak mahu dalam tempoh setahun yang lalu.

"Kanak-kanak yang lebih tua berumur 16-17 agak lebih berkemungkinan (12 peratus) menerima kandungan yang tidak diingini itu berbanding dengan kanak-kanak yang lebih muda (12-13: tujuh peratus; dan 14-15; tujuh peratus)," kata laporan itu.

Dalam masa yang sama, Disrupting Harm di Malaysia menyatakan kanak-kanak yang terlibat dalam OCSEA dilapor tidak mengenali pesalah terbabit.

Begitupun, 11 daripada 38 kanak-kanak yang telah mengalami kepada contoh jelas OCSEA memilih untuk tidak menyatakan siapa pesalahnya, di mana keengganan untuk mendedahkan perkara tersebut boleh menunjukkan bahawa orang itu dikenali oleh mereka.

"Mungkin lebih sukar bagi kanak-kanak untuk mendedahkan apabila pesalah adalah individu yang mereka bergantung dari segi ekonomi dan/atau emosi," tambah laporan berkenaan lagi.

.

Membuat dan berkongsi kandungan seksual

Sebanyak 74 peratus kanak-kanak dan 81 peratus daripada penjaga yang ditinjau bersetuju dengan kenyataan: "Adalah salah untuk seseorang mengambil imej atau video bogel diri mereka sendiri".

Namun, laporan tersebut menyatakan antara sebab paling biasa yang mendorong kanak-kanak berkongsi imej atau video bogel diri mereka adalah sedang berseronok dan bercinta (dua daripada enam kanak-kanak).

Di Malaysia, tinjauan isi rumah menunjukkan bahawa majoriti besar kanak-kanak (78 peratus) dan penjaga (83 peratus) percaya bahawa sekiranya imej atau video yang dijana sendiri dikongsi lebih lanjut, ia adalah kesalahan mangsa.

Kajian juga mendedahkan tiada seorang pun daripada kanak-kanak yang pernah mengalami bentuk jelas OCSEA melaporkan kepada polis atau kepada pekerja sosial bagi mendapatkan bantuan.

Selain itu, data daripada tinjauan isi rumah melibatkan pekerja barisan hadapan dan wakil kerajaan berpandangan bahawa mangsa yang pernah mengalami OCSEA memilih untuk berdiam diri kerana berasa malu dan stigma terhadap mangsa.

"Apabila disoal apakah tindakan yang mereka fikir akan diambil jika anak-anak mereka mengalami gangguan seksual, penderaan atau eksploitasi, 60 peratus penjaga menyatakan mereka akan memberitahu kepada pasangan dan 34 peratus kepada ahli keluarga yang lain.

"Sebaliknya, hanya 13 peratus melaporkan bahawa mereka akan memberitahu kepada pekerja sosial, manakala 19 peratus akan menghubungi talian bantuan.

"55 peratus penjaga yang tidak akan melaporkan jika anak-anak mereka mengalami penderaan, eksploitasi atau gangguan kerana takut akan kesannya, manakala 18 peratus tidak akan melaporkan untuk mengelak daripada mewujudkan masalah," demikian tambah laporan itu lagi.

Untuk rekod, Disrupting Harm yang dibiayai oleh Tabung Hentikan Keganasan Terhadap Kanak-Kanak menjalankan penyelidikan di tujuh buah negara di Afrika Timur dan Selatan serta enam buah negara di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Di Malaysia, data jenayah dianalisis selama tiga tahun dari 2017 hingga 2019 oleh pihak Interpol, sementara kerja lapangan berlangsung antara April 2021 hingga November 2021.