JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bersedia untuk membantu sejumlah penduduk di Johor Bahru dan Iskandar Puteri yang terjejas akibat ribut pada petang tadi, menerusi tabung bencana negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata setakat ini terdapat 20 buah rumah di Kampung Pasir, 21 unit rumah teres di Taman Tun Aminah, di sini dan 19 unit Flat Pekaka di Iskandar Puteri, yang dikesan mengalami kerosakan bumbung akibat ribut.

Bagaimanapun beliau berkata setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka ekoran kejadian ribut pada 3.30 petang itu, dan menjelaskan Skuad Kilat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), bertindak pantas membantu membersihkan rumah penduduk.

"Tindakan awal kerajaan negeri di peringkat majlis bandar raya antaranya skuad kilat yang bertindak pantas datang membantu membersihkan struktur rumah yang rosak.

"Bagi rumah flat mungkin boleh guna tabung bencana untuk baiki kerosakan segera, itu tanggungjawab kerajaan negeri untuk bantu...rumah persendirian biasanya di peringkat Pegawai Daerah juga boleh menggunakan tabung itu juga," katanya kepada pemberita ketika melawat rumah penduduk terjejas di Kampung Pasir, di sini, malam ini.

BACA: Harta benda rosak teruk susulan ribut, hujan lebat di Johor Bahru, Iskandar Puteri

Turut serta Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Noorazam Osman dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri Liew Chin Tong.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata penduduk yang terjejas perlu membuat laporan polis dan menyenaraikan segala kerosakan yang dialami, sebelum merujuk kepada ketua kampung dan ketua penghulu untuk tindakan lanjut.

"Ketua kampung dan ketua penghulu ialah mediator dengan Pegawai Daerah, dan mereka akan adakan mesyuarat di peringkat bencana daerah untuk melihat semua kos yang akan terlibat," katanya.

Ribut yang berlaku petang tadi telah menyebabkan sejumlah rumah, kedai serta harta benda seperti kereta dilaporkan rosak teruk susulan ribut dan hujan lebat.

-- BERNAMA