AYER HITAM: Seramai 61 pelajar Sekolah Menengah Agama Nurul Islam, Ayer Hitam terpaksa dikejarkan ke hospital dan klinik kesihatan daerah selepas terhidu asid sulfurik yang tumpah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, kejadian dipercayai berlaku jam 12 tengahari, ketika semua pelajar berkenaan sedang belajar di dalam kelas.

Menurut Rodzi, kesemua mangsa terdiri daripada sembilan lelaki dan 52 pelajar perempuan berusia 14 hingga 17 tahun.

Katanya, kejadian berlaku selepas tong berisi asid sulfurik tersebut pecah ketika kerja pemunggahan dilakukan, menyebabkan cecairnya tumpah menyebabkan pencemaran bau.

Jelasnya, bau itu kemudiannya memasuki ruang kelas di mana murid-murid tersebut sedang belajar.

Rodzi berkata, bagaimanapun tindakan pantas pihak sekolah menghubungi pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya menyelamatkan semua mangsa.

Katanya, 41 pelajar di hantar ke Hospital Jitra (HJ), enam pelajar di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar manakala empat pelajar di kejarkan ke Klinik Kesihatan Ayer Hitam untuk rawatan lanjut berikutan mengalami simptom pedih mata, sakit tekak dan loya.

Kesemua mereka dilaporkan stabil dan telah dibenarkan pulang petang tadi selepas menerima rawatan.

Sementara itu, Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon memaklumkan hasil siasatan mendapati tong asid sulfurik itu adalah untuk kegunaan pembelajaran di makmal sains sekolah terbabit.

Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal dan memindahkan asid sulfurik terbabit daripada merebak.

Beliau bersyukur kerana tidak berlaku letupan dan kesan radiasi pencemaran yang serius.