AYER KEROH: Seramai 648 daripada 13,976 guru di Melaka dikenal pasti menghadapi tekanan dan kemurungan sepanjang berkhidmat sehingga menyebabkan sebahagian besar daripada mereka mengambil keputusan untuk bersara awal.

Perkara itu dimaklumkan pada hari kedua Persidangan Ketiga Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, angka itu dikesan selepas saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS) yang dilakukan secara sukarela dibuat melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling (e2PK) Kementerian Pendidikan.

Katanya, daripada jumlah itu juga, 28 atau 4.32 peratus guru berada pada tahap kemurungan dan beberapa tindakan diambil untuk memulihkan keadaan itu seperti kaunseling, melaksanakan Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru #3A (sedar dan peka tindak) kepada semua warga Jabatan Pendidikan negeri.

“Saringan yang dikendalikan Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan negeri adalah untuk mengukur tahap tekanan dan kemurungan dalam kalangan guru di negeri ini.

“Selain itu, Program Pemulihan, Pencegahan, Pembangunan dan Intervensi (3PI), antaranya Program Literasi Kewangan, Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Program Pementoran, Program Mutiara (prestasi sederhana dan rendah) dan Intervensi Guru Positif COVID-19 turut dilaksanakan kearah melahirkan guru yang seimbang dari setiap aspek," katanya.

Muhamad Akmal (BN-Merlinau) terdahulu menjawab soalan tambahan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) mengenai punca kebanyakan guru mengambil tindakan bersara awal di negeri ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan Seah Shoo Chin (DAP-Kesidang) mengenai peruntukan untuk menaik taraf dan pembaikan sekolah di Melaka, Muhamad Akmal berkata, pembinaan sekolah baharu akan dibina sekiranya sekolah sedia ada sudah mencapai bilangan bilik darjah fizikal 36 bagi sekolah rendah dan 42 bilik darjah bagi sekolah menengah.

"Mengikut rekod, permohonan projek baharu yang akan diangkat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah Pusat Tingkatan Enam di Bachang, Serkam dan Ayer Limau, diikuti menaik taraf bangunan daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebatu di Sungai Rambai serta menaik taraf bangunan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Lok, Jasin.

"Turut diberi tumpuan, bangunan tambahan enam bilik darjah dan lain-lain kemudahan di SK Kampung Tengah, pembinaan bangunan baharu 24 bilik darjah dan kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Berendam, pembinaan bangunan tambahan 12 bilik darjah di SK Telok Berembang, pembinaan padang permainan SK Air Baruk, SK Batu Berendam dan SK Ayer Molek," katanya.