Seramai 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan masing-masing tiga penyeludup serta tekong ditahan dalam Operasi Benteng, pada Rabu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, pihak penguat kuasa turut merampas 10 kenderaan darat.

Katanya, daripada jumlah itu, 27 PATI ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kompleks Rakan Muda, Bandar Penawar, Johor ketika cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

Sementara itu, seorang penyeludup warga tempatan turut ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Rantau Panjang, Kelantan kerana terlibat dengan aktiviti penyeludupan.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, pada Khamis.

Menurut Ismail Sabri, mereka ditahan ketika 81 sekatan jalan raya Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memeriksa 1,571 premis pada Rabu memberi nasihat kepada 15 premis yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"KPDNHEP juga telah melakukan pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 708 premis perniagaan termasuk peruncit (506), pemborong (172) dan pengilang (30).

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi," jelasnya.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

Menyentuh mengenai kuarantin wajib, beliau memaklumkan, seramai 29,748 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan negara sejak 24 Julai hingga Rabu.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,517 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 20,160 individu lagi dibenarkan pulang," ujarnya.