Sebanyak 3,925 atau 67.4 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012 berjaya memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (lulus) dalam kesemua 10 mata pelajaran.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Dr Na'imah Ishak berkata ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya 3,420 calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus pada 2011.

Beliau berkata 385 calon mendapat Mumtaz (cemerlang), 1,263 mendapat Jayyid Jiddan (sangat baik), 1,868 calon mendapat Jayyid (baik) dan 409 lagi Maqbul (lulus).

Sebanyak 5,818 calon menduduki STAM tahun lepas di 116 pusat peperiksaan seluruh negara.

STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000 dan mendapat pengiktirafan setaraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melayakkan calon yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti Program Ijazah Pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Na'imah berkata enam mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi iaitu Tauhid dan Mantiq, Fiqh, Balaghah, Hifz Al-Quran dan tajwid, Nahu dan Sarf serta Hadith dan Mustolah.

Manakala berlaku penurunan prestasi untuk mata pelajaran Adab dan Nusus, Tafsir dan Ulumuhu, 'Arudh dan Qafiyah dan Insya' Mutala'ah.

Susulan itu, pelbagai program intervensi akan dilaksana dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri serta sekolah untuk meningkatkan pencapaian keseluruhan mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.

Na'imah berkata calon-calon yang tidak berjaya berpeluang menduduki semula peperiksaan itu untuk memperbaiki pencapaian mana-mana mata pelajaran yang kurang memuaskan.