KUALA LUMPUR:Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 688 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 678 individu dikompaun dan 10 direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk penjarakan fizikal (213), tidak memakai pelitup muka (211), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (136), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (37), dan lain-lain (91)," katanya dalam satu kenyataan mengenai PKP pada Ahad. 

BACA: 688 individu ditahan, ini lima tumpuan kenyataan media PKPP

Semalam juga, Operasi Benteng berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas lima kenderaan darat.

"Sebanyak 303 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan
PDRM (229 SJR), ATM (65 SJR), dan AKSEM (9 SJR). 

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," ujarnya. 

Sejak 24 Julai sehingga 24 Oktober 2020, seramai 54,312 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 65 Hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Daripada jumlah itu, 8,683 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 381 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 45,248 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang dan mereka telah pulang dari 35 negara," katanya lagi. 

Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 10,751 operasi sanitasi merangkumi 136 zon. Sebanyak 13,359 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,740 pusat perniagaan, 1,617 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,650 tempat awam, 354 pasar raya, dan 5,998 bangunan kerajaan.

Semalam sebanyak 33 operasi sanitasi meliputi 5 zon Merah, 10 zon Kuning dan 3 zon Hijau yang melibatkan 10 buah negeri iaitu Sarawak (8 operasi), Melaka (6 operasi), Pulau Pinang (4 operasi), Sabah (3 operasi), Perak (2 operasi), Terengganu (2 operasi), Negeri Sembilan (1 operasi), Johor (1 operasi), Perlis (1 operasi), serta 2 Buah Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur (4 operasi) dan Labuan (1 operasi).

Semalam (24 Oktober 2020), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 36 tapak binaan di seluruh Malaysia.

"Daripada jumlah itu, hasil pemeriksaan mendapati 13 tapak binaan yang beroperasi telah mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 23 tapak binaan tidak beroperasi," ujar beliau.