KLANG : Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusan dan kemahiran, dipelawa untuk berkunjung ke Karnival Kerjaya Selangor 2023 yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja Selangor, V Ganabatirau berkata, lebih 7,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ditawarkan dalam karvinal program yang berlangsung di Dewan Hamzah, di sini.

Menurutnya, karnival anjuran bersama Kementerian Sumber Manusia dan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) itu akan diadakan dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan lebih 30 majikan termasuk Astro, Westport dan Maybank yang akan menyertai karnival berkenaan.

"Peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang ditawarkan termasuk sektor pembuatan, perkhidmatan, perbankan, pengendalian makanan dan hospitaliti.

"Mereka yang sedang mencari pekerjaan disaran untuk membawa resume masing-masing sebagai persediaan,” katanya di sini, pada Jumaat.

Menurut Ganabatirau, bagi memudahkan urusan semakan dan khidmat nasihat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga membuka booth di karvinal tersebut.

Beliau memberitahu, orang ramai juga boleh mendaftar melalui pautan https://myfuturejobs.gov.my/careerfair/





Dalam pada itu katanya, UPPS yang baharu dua tahun ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja bagi membantu mereka yang terjejas sumber pendapatan akibat COVID-19, setakat ini berjaya menempatkan 2,500 pekerja di syarikat-syarikat seperti Sony dan Panasonic.

"Di bawah UPPS ini, fokus utama kita adalah tertumpu kepada golongan B40 yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

"Meskipun misi utama UPPS adalah untuk membantu pekerja-pekerja di Selangor yang telah kehilangan pekerjaan semasa pandemik COVID-19, namun ia terbuka kepada semua yang sedang mencari pekerjaan.

"Kita mahu semua sama-sama kembali mendapatkan pekerjaan yang sesuai bagi menempuh kehidupan mendatang," ujarnya.

Ganabatirau menjelaskan, selaras dengan visi UPPS, pada tahun lalu Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja melaksanakan memberi caruman PERKESO kepada pekerja gig seperti Grab dan Food Panda selama setahun.

"Bagi tahun ini, memandangkan kita akan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), kami memutuskan untuk membantu 500 pekerja gig untuk membuat pencaruman bagi fasa pertama," jelasnya.

Pada masa yang sama katanya, kerajaan Selangor menerusi UPPS memberi bantuan bayaran pendahuluan pembelian motosikal kepada 100 pekerja P-hailing dalam program Bikecare-1000.

"Inisiatif ini ditumpukan untuk membantu 100 warga Selangor yang ingin berkhidmat dan sedang berkhidmat dibawah sektor p-hailing yang memerlukan bantuan untuk memiliki motorsikal dan mengendalikan tugasan harian mereka bagi menjana pendapatan.

"Program ini khas untuk mereka yang menganggur dan ingin meceburkan diri dalam sektor p-hailing dimana kerajaan negeri akan membantu mereka dengan subsidi bayaran pendahuluan, insurans dan pemprosesan pinjaman dengan jumlah bantuan sebanyak RM1000 untuk setiap pembelian motorsikal dan memulakan kerjaya dalam sektor p-hailing," jelasnya.

Katanya, bagi membimbing penganggur di luar bandar memohon pekerjaan, UPPS turut menjelajah ke pusat komuniti desa (PKD) seluruh negeri.