KOTA KINABALU: Kadar pengangguran di Sabah menunjukkan perkembangan positif apabila turun kepada 5.5% pada suku pertama tahun ini berbanding 6 peratus pada suku keempat tahun lalu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penurunan itu mencerminkan kesan positif pelbagai inisiatif kerajaan dalam memperkukuh pasaran buruh.
Menurutnya, sebanyak 71,821 penempatan pekerjaan berjaya direkodkan di Sabah bagi tempoh 2020 hingga 24 Julai 2026 hasil usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan membantu rakyat Sabah memperoleh pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan ekonomi mereka.
"Bagaimanapun, angka ini juga mengingatkan kita bahawa masih banyak usaha perlu diperkukuhkan," katanya.
Teks ucapan Hajiji dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs X Oil & Gas Kota Kinabalu 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Sabah mempunyai kelebihan sebagai antara hab utama industri minyak dan gas negara, sekali gus menjadikan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran semakin penting.
Beliau berkata, perkembangan dalam sektor pembinaan, teknikal dan kejuruteraan, minyak dan gas, pembuatan, hospitaliti serta inovasi turut mengubah corak peluang pekerjaan di negeri itu.
"Cabaran utama adalah memastikan bekalan bakat dan kemahiran tempatan bergerak seiring dengan permintaan industri," ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata KESUMA sedang memperkukuh dan memperkasa pasaran buruh Sabah menerusi Sabah Talent Development Centre (STDC).
Katanya, pusat itu menjadi platform strategik bagi mengintegrasikan pembangunan bakat selaras dengan keperluan industri.
"Kami juga akan memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, industri, institusi pendidikan serta penyedia latihan.
"Ini bagi memastikan bakat tempatan lebih responsif, kompetitif dan memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan," jelasnya.
Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas Kota Kinabalu 2026 berlangsung selama dua hari sehingga esok di SICC.
Program itu membabitkan penyertaan 30 majikan yang menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji sehingga RM12,000 sebulan kepada pencari kerja.