KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 stesen di seluruh negara masih merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap Tidak Sihat setakat 7 malam ini, dengan beberapa kawasan menunjukkan penurunan bacaan berbanding sejam sebelumnya.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pasir Gudang di Johor merekodkan bacaan IPU tertinggi negara pada paras 182.
Tangkak yang mencatatkan bacaan tertinggi sejak tengah hari tadi turun kepada 181, diikuti Larkin (178), Segamat (172), Kota Tinggi (171), Batu Pahat (170), Pengerang (170) dan Kluang (168).
Batu Pahat yang merekodkan bacaan IPU tertinggi negara pada 10 pagi iaitu 190 kini menunjukkan penurunan sebanyak 20 mata.
Di Negeri Sembilan, Seremban merekodkan bacaan 166 berbanding 183 pada sebelah pagi, manakala Nilai dan Port Dickson masing-masing mencatatkan bacaan 163 dan 158.
Di Pahang, Indera Mahkota di Kuantan mencatatkan penurunan ketara kepada 103 berbanding 127 pada 6 petang, manakala Balok Baru kekal pada bacaan 157.
Di Lembah Klang, Klang merekodkan bacaan 104 berbanding 114 sejam sebelumnya. Kawasan lain yang masih berada pada tahap Tidak Sihat ialah Cheras (170), Putrajaya (159), Batu Muda (157), Shah Alam (157), Johan Setia (155) dan Petaling Jaya (153).
Sementara itu, Langkawi di Kedah kekal sebagai satu-satunya stesen yang merekodkan bacaan pada tahap Baik dengan IPU 48.
Di Sarawak, Kuching mencatatkan bacaan 152 manakala Samarahan kekal pada tahap Sederhana dengan bacaan 93.
Secara keseluruhan, daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara, 28 stesen berada pada tahap Tidak Sihat (101 hingga 200), 39 stesen berada pada tahap Sederhana (51 hingga 100) dan satu stesen pada tahap Baik (0 hingga 50).
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh jerebu.