Skip to main content

Malaysia

77 peratus pelajar MRSM ditawarkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda

[TB]_MRSM tawaran pengajian_BERNAMA
Tun Ramli (tengah) hadir merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Sukan dan Permainan MRSM Kebangsaan 2026 (SUPER X) di Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM), George Town, malam tadi. - Gambar Bernama
Advertisement

GEORGE TOWN: Kajian pengesanan pelajar terhadap lepasan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) tahun 2025 menunjukkan 77 peratus pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ditawarkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib berkata, kajian Bahagian Pendidikan Menengah Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu turut merekodkan 92 peratus lulusan telah mengikuti bidang aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). 

"Pencapaian itu amat membanggakan dan yakin peratusan tersebut mampu ditingkatkan lagi dari semasa ke semasa, namun anak-anak perlu diingatkan bahawa ilmu yang tinggi perlu berjalan seiring dengan akhlak, integriti dan sifat bertanggungjawab.

"Negara bukan sahaja memerlukan generasi yang pintar menggunakan teknologi tetapi juga generasi yang mempunyai kebijaksanaan untuk menggunakannya demi kebaikan manusia dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Sukan dan Permainan MRSM Kebangsaan 2026 (SUPER X) di Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, malam tadi.

Turut hadir Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Zulfikri Osman serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran mewakili Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Tun Ramli berkata, dari segi struktur pengambilan, dasar sedia ada hendaklah terus memastikan kepelbagaian latar belakang murid yang diterima masuk ke MRSM merangkumi mereka dari kawasan bandar dan luar bandar serta pelbagai kedudukan sosioekonomi.

Beliau berkata, walaupun pembangunan dan kemudahan pendidikan di luar bandar semakin berkembang hasil usaha kerajaan, masih terdapat kawasan yang berdepan jurang kemudahan serta peluang.

Dalam masa yang sama, pelajar daripada keluarga M40 dan T20 juga boleh diberikan ruang untuk mengikuti pendidikan di MRSM, dengan kadar yuran caruman yang bersesuaian berdasarkan kemampuan keluarga.

"Pendekatan ini membolehkan MRSM mengekalkan keterangkuman dalam pengambilan murid, di samping memastikan peluang pendidikan terus diberikan secara adil kepada mereka yang berpotensi dan layak.

“Kepelbagaian latar belakang sosioekonomi serta pertemuan antara murid dari bandar dan luar bandar menjadikan MRSM sebagai medan pertemuan pengalaman, pemikiran dan cara hidup yang berbeza," katanya.

Sementara itu, Zulfikri berkata, SUPER X  2026 bukan sekadar medan persaingan merebut kejuaraan, sebaliknya menjadi platform penting untuk mencungkil dan mengembangkan bakat atlet muda MRSM di seluruh negara.

Kejohanan yang menghimpunkan 2,968 atlet daripada 14 kontinjen itu turut memberikan peluang kepada pelajar menguji potensi, meningkatkan prestasi dan membina pengalaman melalui persaingan sihat.

Beliau berkata, SUPER X 2026 yang mempertandingkan 10 jenis sukan turut melibatkan lebih 300 sukarelawan serta hampir 600 guru pengiring, urus setia, serta pegawai teknikal.

“Skala penyertaan itu memperlihatkan bahawa ia bukan sekadar sebuah kejohanan, tetapi telah berkembang sebagai antara platform penting dalam kalendar pembangunan pelajar MRSM pada peringkat kebangsaan.

"Kita mahu MRSM menjadi talent development ecosystem yang bukan sahaja melahirkan kecemerlangan akademik, tetapi turut mengembangkan bakat dalam STEM, kepimpinan, inovasi, keusahawanan dan sukan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement