SEPANG: Aliran trafik di sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dijangka lebih lancar sepanjang Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2026 dari Jumaat hingga Ahad ini berbanding ketika penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Malaysia awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ACP M. Ravi berkata, jangkaan itu mengambil kira ketiadaan penutupan jalan dan pemeriksaan di laluan masuk ke litar, yang sebelum ini antara faktor mempengaruhi kelancaran trafik ketika perlumbaan F1.
“Jadi, kali ini kita hanya menempatkan anggota polis trafik untuk melancarkan pergerakan lalu lintas dan mengelakkan kesesakan,” katanya pada sidang media kawalan trafik dan taklimat keselamatan sempena MotoGP Malaysia 2026, di sini, pada Rabu.
Ravi berkata, laluan kontra akan dilaksanakan bermula 6 pagi pada Sabtu dan Ahad, khusus untuk kenderaan VVIP yang diiringi polis serta kenderaan kecemasan termasuk ambulans dan jentera bomba sehingga perlumbaan selesai.
Beliau berkata, seramai 649 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang tiga hari perlumbaan bagi memastikan keselamatan pengunjung serta kelancaran trafik di sekitar SIC.
Pengunjung turut dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan anggota trafik dan meletakkan kenderaan di kawasan parkir ditetapkan bagi mengelakkan gangguan terhadap aliran trafik.
Sebelum ini, kesesakan luar biasa dilaporkan di sekitar SIC serta laluan keluar menuju Kuala Lumpur dan KLIA selepas berakhirnya perlumbaan F1 GP Bahrain di Malaysia 2026 pada 4 Okt lepas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, kira-kira 40,000 pengunjung dijangka hadir pada Jumaat, manakala jumlah itu diunjurkan meningkat kepada antara 60,000 hingga 80,000 orang pada Sabtu dan Ahad.
-- BERNAMA