KUALA LUMPUR: Sebanyak 78 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ianya membabitkan lima jenis penyakit berjangkit, iaitu jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit, 'acute gastroenteritis' (AGE), Hand Food Mouth Disease (HFMD) dan konjunktivitis.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 53 adalah ARI, penyakit kulit (17), AGE (4),  HFMD (2) dan konjunktivitis (2).

Selain itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 434 merupakan kes positif COVID-19 dari 19,099 jumlah keseluruhan dalam kalangan mangsa banjir. 

Setakat ini terdapat 14 kes positif serta satu kluster dengan melibatkan 10 kes, namun tiada kluster baharu dilaporkan pada hari ini di pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau turut menasihatkan supaya mengelak perkumpulan ramai semasa di PPS, selain memakai pelindung diri semasa operasi memindahkan mangsa banjir dan sewaktu melakukan proses pembersihan pasca banjir selain memastikan kebersihan diri terjaga dengan segera membersihkan badan terkena air banjir.

"Elak bermain atau meredah air banjir, elak minum air serta makan makanan tercemar. Jaga kebersihan kawasan PPS bagi mengelak penyakit bawaan vektor dan sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran terutama individu berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan individu mempunyai komorbiditi.

"Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit," katanya.