SUNGAI BESAR: Sebanyak 8.1 tan metrik makanan dan minuman dengan anggaran nilai RM116,000 berjaya diselamatkan di bazar Ramadan seluruh negara menerusi program MySaveFood dalam tempoh enam hari puasa tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata kempen itu digerakkan KPDN dengan kerjasama rakan strategik iaitu Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA).

"Tahun lepas kita melaksanakan MySaveFood di 55 bazar Ramadan di seluruh negara dan telah menyelamatkan 25 tan metrik makanan dan minuman daripada terbuang dengan nilai lebih RM281,000," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program MySaveFood peringkat negeri Selangor di Bazar Ramadan Sungai Besar di sini hari ini.

Fuziah berkata bagi peringkat negeri Selangor, program itu dilaksanakan dengan penglibatan tiga institusi pengajian tinggi awam iaitu, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Selangor.

Beliau berkata pelaksanaan program itu diuruskan oleh Gerakan Pengguna Siswa (GPS) PSIS, Sabak Bernam yang merupakan komuniti aktif di bawah Gerakan Pengguna KPDN Selangor.

"Menerusi GPS, KPDN Selangor melantik seorang ketua bazar yang bertanggungjawab untuk mengurus gerak kerja MySaveFood seperti mengumpul dan mengedar makanan dan minuman yang tidak habis dijual secara percuma kepada golongan sasar antaranya pelajar universiti, gelandangan, rumah kebajikan dan rumah ibadah," katanya.

Dalam pada itu Fuziah berkata KPDN Selangor menerusi kerjasama strategik dengan pihak berkuasa tempatan melaksanakan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di empat lokasi tumpuan pengunjung di negeri itu, iaitu Bazar Ramadan Lotus Kuala Selangor, Sungai Besar, Kuala Kubu Bharu dan Kuala Langat.

Katanya BRR tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan di mana setakat ini lebih 40 peratus peniaga yang terlibat di lokasi berkenaan menawarkan Menu Rahmah iaitu makanan dan minum dijual pada harga RM5 dan ke bawah.

-- BERNAMA