Lapan individu dipercayai berhubung dengan kanak-kanak berusia 14 bulan yang maut akibat difteria di negeri ini, disahkan dikuarantin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata lapan individu berkenaan dikuarantin selepas didapati mempunyai simpton penyakit berkenaan.

"Ada beberapa orang dikuarantin dan mereka ini dipercayai ada 'contact' (berhubung) dengan pesakit berkenaan (kanak-kanak berkenaan)," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata ibu mangsa merupakan antara yang menghidap simptom penyakit berkenaan namun tiada maklumat lanjut mengenai individu lain yang dikuarantin.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 bulan disyaki akibat jangkitan difteria di daerah ini, pada 15 Okt lepas.

Menurut kenyataan itu, kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana keluarganya enggan menerima imunisasi.

Kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia akibat mengalami difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Selahuddeen Abdul Aziz berkata ibu bapa perlu sedar dan akur dengan program imunisasi yang dianjurkan KKM dengan mengambil imunisasi disediakan.

"Kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai imunisasi memang tinggi tetapi ada juga kelompok tidak berapa sedar tentang itu (kepentingan imunisasi) dan pihak kementerian telah pun mengeluarkan templat kesedaran tentang kepentingan imunisasi ini," katanya kepada pemberita selepas lawatan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Hospital Sultanah Aminah, di sini hari ini.

Dr Selahuddeen berkata kementerian juga boleh mengaturkan semula program imunisasi bagi kanak-kanak yang ketinggalan dan masih tidak mendapatkan imunisasi berkenaan.

"Memang kita boleh buat (program imunisasi ini). Itu memang kita punya program dan kita sentiasa memastikan anak-anak menerima imunisasi demi untuk kebaikan mereka," katanya.

-- BERNAMA