Digital Johor 4.0, yang akan dilancarkan hari ini, bakal memberi fokus kepada lapan teras utama dalam usaha kerajaan negeri memacu ekonomi dan penggunaan digital dalam kalangan rakyat, perniagaan dan pentadbiran kerajaan di Johor.

Pengarah Urusan Digital Johor Sdn Bhd (DJSB) Datuk Abdul Wahab Abdullah berkata lapan teras tersebut adalah kerajaan pintar; ekonomi digital berpandukan data; infrastruktur dan rangkaian digital pintar bersepadu; platform pelaksana untuk rakyat dan pelancong; inovasi Digital Johor X-Celerator; gaya hidup Digital Johor; agropolitan Digital Johor dan hab halal Digital Johor.

"Dalam teras platform pelaksana bersepadu untuk rakyat dan pelancong, kita akan bangunkan Johor Applications and Service Solutions (JASS) iaitu sebuah aplikasi telefon pintar yang akan menjadi penghubung kepada rakyat dan pelancong kepada perkhidmatan kerajaan negeri dan ini akan menjadikan Johor negeri pertama yang mempunyai aplikasi seperti ini," kata beliau kepada pemberita dalam sidang media di Stadium Educity, di sini, pada Ahad.

Melalui Agropolitan Digital Johor pula, beliau berkata akan terdapat perubahan dalam sektor perladangan dan penanaman moden yang berskala besar dengan menggunakan sistem perkilangan pintar, pasaran digital, sistem berteraskan pengetahuan, automasi dan mekanisasi.

Majlis pelancaran Digital Johor 4.0 esok akan disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak.

DJSB ialah anak syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang dipertanggungjawabkan bagi menjayakan pelaksanaan inisiatif Digital Johor 4.0.

-- BERNAMA