MALAYSIA
80 peratus Orang Asli Kelantan pertahan adat meski berdepan arus pemodenan - JKKN

Rohaniza (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Mohd Faedyzal Mohamed (kanan) pada Program Penyemarakan Komuniti Budaya @ Komuniti Orang Asli di Pos Brooke, Gua Musang, 2 Ogos 2025. --fotoBERNAMA
GUA MUSANG: Sebanyak 80 peratus masyarakat Orang Asli di Kelantan masih berpegang teguh kepada adat serta kepercayaan tradisional mereka meskipun berdepan arus pemodenan dan perkembangan teknologi masa kini.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan Rohaniza Abdullah berkata hasil kajian yang dijalankan oleh pihaknya mendapati masyarakat Orang Asli sangat berbangga dengan identiti budaya mereka serta bijak menggunakan media sosial untuk menonjolkan keunikan itu kepada khalayak luar.
Beliau berkata setakat semalam, mereka masih mengekalkan adat resam secara turun-temurun.
"Di situlah kekuatan komuniti berkenaan mempertahankan budaya dan identiti mereka dalam dunia yang semakin moden... menariknya, golongan muda Orang Asli telah menyesuaikan keunikan budaya itu dengan penggunaan media sosial sebagai platform untuk memperkenal warisan mereka."Penyelidikan JKKN membuka mata banyak pihak tentang kekuatan nilai sosial dan budaya yang masih kukuh dalam kalangan masyarakat Orang Asli," katanya kepada pemberita selepas program Penyemarakan Komuniti Budaya@Komuniti Orang Asli di Pos Brooke, Lojing di sini semalam.
Rohaniza berkata JKKN berhasrat untuk memaklumkan masyarakat luar bahawa masih banyak keistimewaan yang dimiliki oleh komuniti ini dan sebahagian daripadanya belum diterokai atau dikenali umum.
Program kebudayaan yang berlangsung selama dua hari itu memberi tumpuan kepada pelbagai aktiviti yang memperlihatkan keunikan budaya Orang Asli termasuk aspek persembahan seni, permainan tradisional dan makanan warisan.
Antara aktiviti yang mencuri perhatian ialah pertandingan memarut ubi kayu menggunakan akar rotan iaitu teknik tradisional yang diwarisi sejak dahulu.
"Kaedah ini adalah cara asli mereka memarut ubi... apabila ia dibawa dalam bentuk pertandingan, secara tidak langsung kita memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai budaya mereka sendiri," katanya.
Beliau berkata program sebegini adalah antara inisiatif penting dalam usaha mengekalkan dan memulihara warisan tradisional masyarakat Orang Asli untuk tatapan serta penghayatan generasi akan datang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami