815 individu telah dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang semalam (Jumaat).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 242 individu lagi direman dan 38 individu dijamin polis.

"Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga 10 April 2020 (semalam) adalah sebanyak 7,759 individu. Seramai 373 dituduh di mahkamah kerana ingkar arahan PKP," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Tambahnya, pada 10 April 2020, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 779 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 490,249 kenderaan.

"Sebanyak 47,949 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dan sebanyak 5,028 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, PDRM akan lebih tegas dan tidak akan berkompromi dengan individu yang masih ingkar dan degil bagi lanjutan PKP kali ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, mereka yang ingkar akan ditangkap dan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 24 (342) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Bagi kesalahan pertama, boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan kedua, boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,"ujar beliau lagi.