Seramai 83 mangsa dipindahkan berikutan banjir kilat di dua lokasi berikutan hujan lebat hampir empat jam di sini pada Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai Rozmi Che Hamat berkata 73 orang daripada 15 keluarga dari Taman Pulai Raya ditempatkan di Dewan Komuniti Taman Bersatu Simpang Pulai.

Beliau berkata daripada jumlah itu, lelaki dewasa seramai 19 orang, wanita 20 orang, kanak-kanak lelaki 14 orang, kanak-kanak perempuan 19 orang dan bayi seorang.

"Setakat 9.30 malam, keadaan banjir tenang kerana air bertakung tanpa ada aliran keluar," katanya sambil menambah kedalaman air lebih 0.6 meter.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Yahya Madis berkata hujan lebat yang bermula 3 petang itu turut mengakibatkan air naik di jalan raya berdekatan Gunung Lang dan rumah sekitar kawasan berkenaan.

"Air naik kira-kira 0.6 meter dan hampir satu meter di kawasan perumahan Taman Wing Onn dan Taman Hock Aun," katanya sambil menambah pihaknya menerima panggilan pada 6.38 petang berhubung perkara itu.

Beliau berkata seramai 10 mangsa yang terlibat ditempatkan di Dewan Orang Awam di Taman Wing Onn dan Hock Aun.