PORT DICKSON: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan pejabat Parlimen Port Dickson (PD) memperuntukkan RM34,500 kepada 85 penternak kupang yang terjejas akibat pencemaran di perairan Port Dickson.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata LKIM menyalurkan bantuan kepada 45 nelayan berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang manakala pejabat Parlimen Port Dickson memberikan bantuan kepada 40 nelayan bukan ahli.

Menurutnya, penyerahan bantuan ini bertujuan mengurangkan beban penternak yang terjejas sepanjang mereka tidak dapat menuai hasil ternakan kupang.

"Kebanyakan nelayan ini menternak kupang sebagai pendapatan sampingan, mereka merancang menjual hasil kupang ini menjelang Syawal kerana permintaan yang tinggi iaitu 150-200 kilogram dengan hasil jualan RM1,200-RM1,600.

"Perkara ini (kupang tercemar) terjadi selepas enam tahun, bakteria ini akan aktif pada masa tertentu," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bantuan kepada penternak kupang terjejas di Telok Kemang, Pasir Panjang, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Wan Aznan Abdullah dan Ketua Pengarah LKIM Hamdan Mamat.

Aminuddin berkata perairan Port Dickson terutamanya di Pasir Panjang dekat sini adalah lokasi semula jadi untuk ternakan kupang, sekali gus berpotensi besar menambah pendapatan nelayan di sini.

Dalam pada itu, Wan Aznan berkata kadar toksin kupang diambil bagi sampel ketujuh adalah 935 bahagian per bilion (ppb) iaitu masih tinggi melebihi pengambilan had selamat iaitu 800 ppb.

"Sampel kelapan diambil pada 14 Mei lalu akan keluar pada 18 Mei dan jika sampel itu menunjukkan indikator turun bawah 800 ppb, kita akan membenarkan operasi penternakan pada pertengahan Jun," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, para nelayan perlu berdaftar dan mengambil lesen bagi ternakan kupang dengan fi tahunan sebanyak RM30 kepada jabatan perikanan.

Beliau menjelaskan bahawa penternak berdaftar mendapat pelbagai manfaat terutamanya menerima bantuan akibat daripada bencana alam, kerosakan dan sebagainya.

"Kalau nelayan ini mendaftar dan membayar fi, mungkin kadar kerosakan dapat dibayar lebih tinggi kepada mereka...seperti di sini, kita akan nilai berapa keluasan dan kerugian dihadapi akibat kupang tercemar ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kupang di perairan Port Dickson mengalami pencemaran biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan yang dikesan pada 2 April lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa alga berbahaya iaitu spesies prorocentrum, alexandrium dan pseudonitzschia terkandung dalam sampel kupang di perairan tersebut.

-- BERNAMA