KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian program ‘Perlis Showcase 2026’ bertemakan “Dari Sempadan ke Kota Raya” yang berlangsung di Ibu Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA), di sini.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama dua puteri baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan baginda sekeluarga disambut Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Datuk Dusuki serta Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman.
Program Perlis Showcase 2026 merupakan acara jualan dan pameran berskala besar anjuran MARA Negeri Perlis dengan kerjasama usahawan tempatan, yang berlangsung dari 20 hingga 22 Mei ini.
Penganjurannya bersempena Tahun Melawat Perlis 2024–2026, dengan matlamat mengetengahkan keunikan negeri tersebut kepada masyarakat ibu kota, termasuk produk ikonik, warisan budaya, makanan tradisional serta potensi pelancongan.
Selain itu, program berkenaan menjadi platform strategik dalam memperluaskan akses pasaran usahawan bimbingan MARA Perlis ke peringkat nasional, di samping memperkukuh daya saing produk tempatan dan membuka peluang jaringan perniagaan yang lebih luas.
Antara tarikan utama program kali ini ialah Malaysia x Thailand Food Street yang menampilkan pelbagai hidangan popular dari utara tanah air serta menu autentik Thailand.
Turut menjadi tumpuan ialah House of Harum Manis yang menawarkan mangga Harumanis Perlis gred premium terus dari ladang, selain Padang Besar & Kuala Perlis Street yang menghimpunkan jualan produk bebas cukai, pakaian, makanan kering serta kraf tangan sinonim dengan kawasan sempadan.
Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai acara interaktif dan persembahan menerusi Pentas Kebudayaan dan Pertandingan yang menampilkan antaranya pertandingan seni silat, Bridal World Heritage, pertandingan mewarna serta karaoke sepanjang program berlangsung.