Lebih 85 peratus daripada jumlah keseluruhan peniaga di Bazaria Wangsa Maju yang dipindahkan dari Uptown Danau Kota adalah peniaga Melayu, kata Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Bazaria Wangsa Maju Md Ibrahim Marican Md Daud Marican.

Beliau berkata ini sekali gus mematahkan provokasi segelintir pihak bahawa langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memindahkan mereka dari tapak lama itu untuk menghapuskan perniagaan orang Melayu.

"Tapak yang disediakan sebanyak 500 petak, boleh dikatakan hanya 25 peniaga Cina dan India. DBKL membuat bancian memang terdapat peniaga Cina dan India yang berniaga di tapak sebelum ini, mereka ini juga yang dibawa ke tapak baharu," katanya kepada pemberita di tapak Bazaria Wangsa Maju di sini, pada Khamis.

Beliau berkata penyewa berlesen tiada mempunyai masalah untuk berpindah selain kaum Cina dan India lebih senang menerima dan merebut peluang keemasan yang diberikan namun ada pihak tertentu dipercayai 'orang tengah' didakwa cuba menghasut serta memainkan isu perkauman.

Peluang dan ruang 'orang tengah' kini tertutup kerana segala urusan sewaan terus kepada pihak DBKL, katanya.

Foto: Facebook Peniaga Bazaria Wangsa Maju (PBWM)

"Persatuan kami hanya menjadi penghubung atau jambatan yang membawa pemasalahan peniaga kepada DBKL," katanya.

Beliau berkata keselesaan pengunjung amat penting dan Bazaria baharu ini menyediakan kira-kira 100 lot parkir selain turut mengutamakan keceriaan suasana kawasan persekitaran tapak pada musim perayaan.

"Persatuan dan peniaga memang berusaha untuk mempromosikan kawasan ini. Kami memang mempunyai perancangan untuk perayaan seperti Tahun Baharu Cina, kita naikkan tanglong dan pelbagai lampu akan dipasang bagi menceriakan kawasan bersesuaian mengikut perayaan," katanya.

Tujuan utama pemindahan adalah bagi menyelesaikan beberapa perkara termasuk masalah penjaja tanpa lesen, kesesakan jalan raya dan isu orang tengah.

Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad mengumumkan kadar sewa tapak lebih murah iaitu RM225.20 sebulan untuk barangan makanan dan RM212.70 untuk barangan kering.

Pada Dis 2019, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan menjelaskan DBKL akan memberikan pengecualian bayaran sewa tapak selama tiga bulan kepada semua penjaja yang berpindah ke tapak baharu itu namun ia tidak membabitkan bayaran lesen.

-- BERNAMA