JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang melengkapkan siasatan bagi tujuan pendakwaan terhadap pihak yang bertanggunjawab di atas pencemaran sisa buangan terjadual di tali air Sungai Tawakal Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas malam semalam.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya akan menunggu keputusan analisa yang dijangka akan diperolehi dalam tempoh minggu ini sebelum pendakwaan dibuat.

Katanya, pihaknya akan melengkapkan siasatan berdasarkan bukti-bukti yang ada memandangkan lokasi punca pencemaran sudah dikenal pasti.

Jelasnya, pencemaran berpunca daripada sebuah stor penyimpanan kenderaan yang dipercayai melepaskan minyak ke sungai tersebut pada waktu hujan lebat supaya tidak dikesan pihak berkuasa.

“Kita tengok pada kesan yang ada mereka menggunakan paip daripada lori terus ke tebing sungai. Saya tengok sendiri dan pegawai kita sudah mendapat maklumat kita terus mengenalpasti tempat dimana ia berlaku.

“Kedua, kita tengok impak pada pembuangan tersebut banyak ikan mati semua habitat dalam air mati maknanya ia sangat serius,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke Kampung Baru Sri Aman, di sini hari ini.

Bau Bahan Kimia | Dua pengsan, 102 dipindahkan di Seelong

BACA: 'Sesak nafas sampai ada yang pengsan' - Penduduk gempar bau kuat dari anak sungai Seelong

Menurutnya, berdasarkan bukti-bukti yang diperolehi pihaknya telah menahan sembilan individu termasuk empat warga asing berusia 30 hingga 50 tahun yang dipercayai terlibat dalam pencemaran itu.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM500,000.

Kejadian itu mengakibatkan seramai 102 penduduk dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.