Sembilan keluarga di dua kampung di sini dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air banjir pada Ahad.

Lapan daripada keluarga itu membabitkan penduduk kampung Kiabau di Telupid dan sebuah keluarga di Kampung Sungai-Sungai di Sugut.

Penolong Pegawai Daerah Telupid Benedict Asmat berkata tiga daripada keluarga terbabit membabitkan 16 orang dipindahkan di Kampung Kiabau dan ditempatkan di Pusat Pemindahan di Dewan Serbaguna kampung terrsebut.

Katanya lima lagi keluarga berpindah ke rumah saudara mereka.

Keluarga di Kampung Sungai-Sungai turut berpindah ke rumah saudara mereka.

"Mereka dipindahkan berikutan air sungai Kiabau yang naik secara mendadak semalam hingga rumah mereka dinaiki air banjir," katanya kepada Bernama ketika melawat mangsa banjir di Dewan Serbaguna Kampung Kiabau di Telupid hari ini.

Menurutnya jalan raya utama ke kampung itu turut dinaiki air menyebabkan penduduk kampung terputus hubungan jalan raya.

Benedict berkata dua lagi kampung yang terputus hubungan adalah Kampung Baba dan Ansuan.

Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat cawangan Telupid hari ini mengagihkan 193 bungkusan bantuan makanan kepada penduduk di tiga kampung berkenaan dengan menggunakan bot.

Pejabat Daerah Beluran dan Pejabat Daerah Kecil Telupid masing-masing sudah membuka Bilik Gerakan Banjir.

Empat sekolah rendah ditutup hari ini membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Perancangan, SK Nangoh, SK Sungai-Sungai dan SK Kiabau.