KUALA LUMPUR: Sebanyak 7,852 atau 97.8 peratus projek penyelenggaraan tandas dan penyelenggaraan kecil di sekolah dan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya disiapkan sepenuhnya setakat 29 Feb lepas.

KPM dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen memaklumkan projek yang dilaksanakan di bawah peruntukan khas Naik Taraf dan Penyelenggaraan Kecil Institusi Pendidikan Tahun 2023 berjumlah RM654.29 juta itu melibatkan 8,354 sekolah dan institusi pendidikan.

"Ia melibatkan 8,306 sekolah kerajaan serta 48 institusi pendidikan (Kolej Matrikulasi, Institut Aminuddin Baki dan Kampus Institut Pendidikan Guru) dengan RM70,000 diperuntukkan bagi setiap sekolah kerajaan dan RM200,000 bagi setiap institusi pendidikan," menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat).

Soalan Dr Ahmad Yunus adalah berhubung status projek naik taraf tandas sekolah dan faktor berlakunya projek yang gagal dilakukan dengan sempurna.

Menurut KPM, 174 atau 2.2 peratus projek masih di peringkat pelaksanaan dan 310 sekolah di Sarawak ditangguhkan pelaksanaannya dan akan diteruskan pada tahun ini, manakala baki 18 sekolah lagi digugurkan atas faktor sekolah baharu yang masih dalam tempoh liabiliti kecacatan.

Pelaksanaan penyelenggaraan tandas di 310 sekolah di Sarawak itu ditangguhkan atas faktor kekangan masa, lokaliti dan juga kekurangan pekerja binaan untuk menyiapkannya pada tahun lepas.

Dalam pada itu, KPM memaklumkan dari 2016 hingga 2024, sebanyak 1,069 projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah dengan kos RM8.34 billion telah diluluskan dan daripada jumlah itu, 694 projek telah siap, 159 projek pada peringkat pembinaan manakala 216 projek pada peringkat prabina, setakat 15 Feb lepas.

"Sehingga Jan 2024, terdapat 1,149 sekolah yang mempunyai bangunan daif di seluruh Malaysia yang belum diangkat untuk kelulusan. Daripada jumlah tersebut, 110 sekolah yang mempunyai bangunan daif akan dikemukakan permohonan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Rancangan Boleh Pinda Kelima (RP5) Tahun 2025," menurut KPM dalam jawapan kepada soalan Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong).

Dr Richard bertanya mengenai status projek bina baharu atau baik bulih sekolah-sekolah daif di Malaysia serta jumlah sekolah daif skala enam dan tujuh yang belum diangkat untuk diluluskan di bawah program pembinaan sekolah daif mengikut negeri.

Mengulas lanjut, KPM memaklumkan pihaknya sedang meneliti keperluan kebolehlaksanaan pembinaan bangunan gantian yang melibatkan 1,039 sekolah dalam aspek keperluan sebenar, lebihan baki tanah sekolah serta status hak milik tanah.

-- BERNAMA