Skip to main content

Malaysia

COP31: Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama pendidikan lestari

Dialog anjuran GGAF di Pavilion Malaysia sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye. - Foto GGAF
Dialog anjuran GGAF di Pavilion Malaysia sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye. - Foto GGAF

Ringkasan AI

  • Kerjasama pendidikan Malaysia-Indonesia diperkukuh melalui projek GGAF yang memfokuskan pendidikan pembangunan mampan di sekolah, universiti dan komuniti.
  • Dialog COP31 menekankan keperluan memperkasakan pendidik, memperluas perkongsian amalan terbaik dan menyokong projek pelajar berkaitan alam sekitar.
  • Program seperti Eco-Schools, Eco-Campus dan YRE digabungkan dengan sokongan yayasan, syarikat serta rakan pembangunan untuk latihan dan pelaksanaan di kedua-dua negara.
Advertisement

ANTALYA: Kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Indonesia terus diperkukuh menerusi usaha yang diterajui Green Growth Asia Foundation (GGAF) bagi memperluas peluang pelajar menangani cabaran alam sekitar melalui projek di sekolah, universiti dan komuniti.

Ketua Eksekutif GGAF, Balamurugan Ratha Krishnan berkata, pendidikan untuk pembangunan mampan perlu disokong oleh pendidik, industri serta rangkaian antarabangsa bagi memastikan pelajar mampu menerjemahkan pembelajaran kepada tindakan yang memberi kesan kepada masyarakat.

Menurut beliau, pelajar boleh memulakan usaha itu dengan mengenal pasti isu yang dekat dengan kehidupan harian mereka seperti pembaziran makanan, penggunaan air dan tenaga serta pengurusan sisa di sekolah dan kampus.

Advertisement

“Apabila mereka menyiasat masalah, mencari penyelesaian dan menilai hasilnya, mereka membina kemahiran serta keyakinan untuk membawa perubahan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan sempena dialog anjuran GGAF di Pavilion Malaysia sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye.

Sebagai pengendali kebangsaan program Eco-Schools dan Eco-Campus di Malaysia dan Indonesia, GGAF memainkan peranan menghubungkan kerangka pendidikan antarabangsa dengan pelaksanaan di peringkat tempatan.

Advertisement

Dialog bertajuk From Global Ambition to Regional Action: Accelerating Education for Sustainable Development Towards 2030 itu menghimpunkan wakil rangkaian pendidikan antarabangsa serta peserta dari Turkiye, Malaysia dan Indonesia bagi membincangkan usaha mempercepat pendidikan untuk pembangunan mampan menjelang 2030.

Balamurugan berkata, antara keutamaan selepas COP31 ialah memperkasakan kapasiti pendidik, memperluas perkongsian amalan terbaik antara institusi pendidikan serta menyokong lebih banyak projek yang diterajui pelajar.

“Kerangka antarabangsa memberi panduan, tetapi pelaksanaannya memerlukan guru yang mendapat sokongan, institusi yang komited dan rakan yang memahami keperluan setempat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif GGAF, Datuk Ir Ts Mahadi Mohamad menegaskan kerjasama rentas sektor perlu menghasilkan manfaat yang boleh diukur dan dipantau.

Katanya, selain pembiayaan, rakan strategik boleh menyumbang kepakaran, bimbingan serta peluang kepada pelajar untuk melaksanakan projek dalam situasi sebenar.

“Kita mahu setiap sumbangan membantu pendidik dan pelajar melaksanakan sesuatu yang jelas, dengan kemajuan yang boleh dipantau serta manfaat yang dapat diterangkan kepada masyarakat,” katanya.

Menurut beliau yang turut bertindak sebagai moderator sesi itu, dialog tersebut membuka ruang untuk mengenal pasti peluang kerjasama yang boleh diteruskan selepas persidangan.

GGAF turut mengalu-alukan penglibatan yayasan, syarikat dan rakan pembangunan bagi menyokong latihan pendidik serta pelaksanaan program di sekolah dan universiti di kedua-dua negara.

Antara pendekatan yang diketengahkan termasuk program Eco-Schools, Eco-Campus dan Young Reporters for the Environment (YRE), yang menggabungkan pembelajaran dengan tindakan, penyiasatan dan komunikasi berkaitan alam sekitar.

Axiata Foundation merupakan antara organisasi yang menyokong pelaksanaan Eco-Schools serta kerjasama dalam program Eco-Campus dan pembelajaran kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan belia.

Selain Balamurugan dan Mahadi, panel dialog turut disertai Pengarah Kanan Pendidikan Foundation for Environmental Education (FEE), Pramod Kumar Sharma; Pengerusi Lembaga Pengarah Turkish Environmental Education Foundation (TÜRÇEV), Profesor Madya Abdulkadir Ates; Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Foundation, Mohamad Kamal Nawawi; serta Ketua Pejabat Penglibatan Global Universitas Syiah Kuala yang mewakili IMT-GT UNINET, Prof Syamsidik.

 

 

Must Watch Video

Advertisement