Skip to main content

Dunia

Dewan Perwakilan AS halang usaha pemecatan Hegseth

Meskipun tekanan politik terhadap Hegseth terus meningkat, penganalisis berpendapat sebarang usaha memecatkannya melalui Senat AS sukar berjaya. - Foto REUTERS
Meskipun tekanan politik terhadap Hegseth terus meningkat, penganalisis berpendapat sebarang usaha memecatkannya melalui Senat AS sukar berjaya. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Dewan Perwakilan AS yang dikuasai Republikan menolak usaha memecat Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, mengurangkan tekanan terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump.
  • Usul merujuk artikel pemecatan Hegseth kepada Jawatankuasa Kehakiman diluluskan dengan 211 sokongan dan 204 bantahan, melambatkan proses pemecatan.
  • Hegseth berdepan kritikan berhubung konflik Iran, namun pemecatannya sukar kerana Republikan menguasai majoriti di Senat AS.
Advertisement

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang dikuasai Parti Republikan menghalang usaha untuk meneruskan proses pemecatan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, sekali gus mengurangkan tekanan politik terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump susulan kritikan berhubung perang dengan Iran.

Dalam undian prosedural pada Selasa, ahli-ahli Dewan Perwakilan meluluskan usul untuk merujuk artikel pemecatan terhadap Hegseth kepada Jawatankuasa Kehakiman Dewan yang diketuai Republikan.

Keputusan itu secara efektif mengekang usaha yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Perwakilan Republikan, Thomas Massie, untuk menyingkirkan Hegseth daripada jawatannya.

Advertisement

Usul tersebut turut mendapat sokongan anggota Parti Demokrat, sekali gus dilihat sebagai ujian sama ada Republikan akan menjauhkan diri daripada pentadbiran Trump selepas parti itu berdepan kemerosotan sokongan dalam pilihan raya pertengahan penggal baru-baru ini.

Keputusan undian menunjukkan 211 ahli menyokong usul berkenaan manakala 204 menentangnya. Massie menjadi satu-satunya wakil Republikan yang tidak menyokong langkah itu.

Advertisement

Dengan keputusan tersebut, Republikan berpeluang melambatkan proses berkenaan tanpa perlu mengadakan undian langsung ke atas lapan artikel pemecatan yang difailkan terhadap Hegseth.

Selepas undian itu, Trump menerusi media sosial menyifatkan usaha berkenaan sebagai kegagalan dan memuji majoriti anggota Republikan kerana terus memberi sokongan kepada Hegseth.

Massie sebelum ini mengemukakan lapan artikel pemecatan yang antara lain menuduh Hegseth melancarkan perang terhadap Iran tanpa kelulusan Kongres serta mengawasi kempen serangan ke atas kapal yang didakwa terlibat dalam penyeludupan dadah.

Bagaimanapun, Hegseth menolak tuduhan itu dan menyifatkan usaha pemecatan tersebut sebagai satu “sabotaj” serta “sandiwara politik”.

Spekulasi mengenai kedudukan Hegseth dalam pentadbiran Trump semakin meningkat sejak beberapa tinjauan pendapat menunjukkan sebahagian pengundi menyalahkan konflik dengan Iran sebagai antara faktor kenaikan harga barangan termasuk petrol dan makanan.

Pada masa sama, beberapa tokoh Republikan turut membangkitkan persoalan mengenai pengendalian perang itu.

Senator Republikan yang bakal menamatkan perkhidmatan, Joni Ernst, pada Selasa mempersoalkan sama ada Hegseth bercakap benar mengenai perkembangan konflik berkenaan.

Meskipun tekanan politik terhadap Hegseth terus meningkat, penganalisis berpendapat sebarang usaha memecatkannya melalui Senat AS sukar berjaya kerana memerlukan sokongan dua pertiga senator, sedangkan Republikan ketika ini menguasai majoriti kerusi di dewan tersebut.

Menurut laporan Al Jazeera, perkembangan itu dilihat memberi kelegaan sementara kepada Hegseth, walaupun kritikan terhadap peranannya dalam konflik Iran masih berterusan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement