KUALA LUMPUR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan kemudahan Rumah Perantaraan AADK kepada penagih dadah bagi membantu golongan itu pulih daripada penagihan.

Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon berkata kemudahan itu yang pertama seumpamanya di negara ini, menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan percuma kepada penagih yang datang ke rumah perantaraan tersebut secara sukarela bagi mendapatkan rawatan.

Beliau berkata perkhidmatan itu terbuka bagi individu yang tidak pernah menjalani rawatan dan pemulihan dengan AADK serta mereka yang pernah menjalani rawatan dengan agensi berkenaan tetapi memerlukan bimbingan lanjut.

"Perkhidmatan yang ditawarkan di sini antaranya saringan, penilaian dan kemasukan klien, rujukan dan advokasi, program rawatan serta pemulihan dalam komuniti," katanya dalam sidang media selepas merasmikan rumah berkenaan yang terletak tingkat tiga bangunan milik MAIWP di Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini hari ini.

Menurut Sutekno rumah perantaraan itu beroperasi mulai 8 pagi hingga 8 malam pada Isnin hingga Jumaat.

"Objektif penubuhan rumah ini adalah untuk menyediakan fasiliti yang selamat, bersih dan selesa selain kemudahan bagi program yang mampu meningkatkan proses kepulihan dan pengekalan kepulihan," katanya.

Sutekno berharap lebih banyak pihak tampil bekerjasama dengan AADK agar kemudahan yang sama dapat disediakan di negeri lain.

Dalam pada itu, Sutekno berkata kadar pengekalan kepulihan daripada kembali menagih bagi individu yang telah mendapat rawatan di AADK adalah 75 peratus pada tahun lepas jauh lebih baik daripada tahap antarabangsa 50 hingga 60 peratus.

"AADK mahu angka ini terus meningkat walaupun kadar kepulihan yang direkodkan lebih baik daripada kadar yang ditetapkan oleh badan antarabangsa, kami percaya ia boleh ditingkatkan lagi dengan program seperti rumah perantaraan seperti ini," katanya.

-- BERNAMA