MELAKA: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan 16 kawasan yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi (KBT) penagih dadah untuk ditukar statusnya menjadi kawasan berisiko rendah (KBR) tahun ini.

Ketua Pengarahnya Sutekno Ahmad Belon berkata ia adalah antara usaha pihaknya untuk menurunkan unjuran pengukuran keparahan penagihan dadah di negara ini daripada 437 kes bagi setiap 100,000 penduduk, kepada 400 kes, menjelang tahun 2025.

"Jadi antara usahanya adalah untuk memastikan 155 kawasan yang dikenal pasti sebagai KBT menjadi KBR dalam tempoh lima tahun bermula 2021," katanya dan menambah tahun lepas 77 KBT berjaya ditukar status kepada KBR.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir ke Program Walkabout Perdana sempena Peringatan Hari Antidadah 2024 di Pantai Puteri di sini hari ini, yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Ngwe Hee Sem.

Mengulas lanjut, katanya sepanjang tahun lepas daripada 19,820 penagih yang menjalani Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan dinilai, 14,890 penagih dadah didapati telah pulih sepenuhnya.

Sementara itu Sutekno berkata AADK turut menyasarkan penyertaan satu juta ahli Skuad AADK, terutama dalam kelangan golongan belia tahun ini.

Beliau berkata setakat ini AADK telah berjaya menarik lebih 150,000 individu dan pelbagai usaha sedang dilakukan untuk mencapai sasaran tersebut termasuk menarik keahlian daripada golongan pelajar di institusi pengajian tinggi,sekolah dan komuniti.

"Sukarelawan ini tidak semestinya buat ceramah antidadah semata-mata tetapi kita mahu skuad ini boleh buat aktiviti yang sihat sebagai salah satu cara mencegah penagihan dadah," katanya.

-- BERNAMA