SUNGAI PETANI: Kerajaan yakin Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mampu memikul peranan sebagai pelaksana program rawatan dan pemulihan, jika hukuman pesalah penyalahgunaan dadah 'dipindahkan' dari penjara ke agensi tersebut.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata AADK berada tahap siap siaga dari segi logistik dan perjawatan serta semua prasyarat lain dalam melakukan rawatan kepada pesalah dadah.

Ketika mengulas mengenai keupayaan AADK susulan cadangan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi memberi peluang penagih dadah mendapatkan rawatan untuk pulih daripada penagihan tanpa dimasukkan ke penjara, beliau berkata menerusi pindaan akta itu fungsi untuk melaksanakan program rawatan dan pemulihan akan dipikul AADK.

"Pindaan ini bukan sekadar keputusan politik oleh kerajaan tapi disambut baik AADK...namun bukan bermaksud bila pinda (akta) di Parlimen, kerajaan lepas tangan tanpa dukungan tambahan.

"Maka saya ulangi tekad dan komitmen kita untuk terus mendukung sesuai dengan pindaan. AADK akan diberi dukungan apa saja diperlukan agar ia berjalan dengan sempurna," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Program Persijilan AADK Kedua di sini pada Ahad.

Menurut Saifuddin lagi agensi itu juga mempunyai sejumlah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dengan staf terlatih di seluruh negara.

"Pindaan dari segi undang-undang dan keperluan sokongan dari segi logistik akan sentiasa diberi tumpuan, tapi jangan lupa di luar sana ada pihak berkepentingan iaitu komuniti," katanya.

Beliau berkata selain AADK, pihak komuniti juga mempunyai peranan penting dalam menyokong dan membantu usaha memulihkan pesalah dadah.

"Bukan sahaja keluarga yang ahli keluarganya terlibat masalah dadah tetapi juga komuniti secara keseluruhan," katanya.

-- BERNAMA