NATIONAL
'Abah, abang janji nak balik hari ini tapi yang pulang jenazah'

Jenazah Allahyarham Abdul Aziz (kiri) dan Muhammad Alif Hakymie (kanan) dituntut ahli keluarga bagi proses pengebumian. -Sinar Harian
TAPAH: "Sepatutnya abah (bapa) dan abang balik rumah hari ini, tetapi takdir menentukan sebaliknya."
Ringkasan AI
- Nur Atiqah Qistina Abdul Aziz kehilangan bapa dan abangnya dalam nahas membabitkan dua treler di Lebuhraya Utara Selatan, menyebabkan mereka hilang semangat untuk menyambut Aidilfitri.
- Abdul Aziz Shafie dan anaknya, Muhammad Alif Hakymie, meninggal dunia selepas treler mereka melanggar bahagian belakang treler lain yang berhenti di lorong kecemasan.
- Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Tai Lama, Pendang, Kedah, dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Nahas dipercayai berlaku selepas treler membawa muatan pasir dipandu Abdul Aziz melanggar bahagian belakang sebuah treler membawa muatan span yang berhenti di lorong kecemasan lebuh raya.
Nur Atiqah Qistina berkata, bapa dan abangnya sepatutnya pulang ke rumah hari ini selepas tiga hari menempuh perjalanan sebagai pemandu lori dan kelindan.
"Sebagai anak sulung, abang memang selalu ikut trip lori abah, kadang-kadang lori (treler) mereka bawa pasir dan ada juga bawa benda lain macam beras.
"Mereka keluar rumah Ahad lepas dan saya dimaklumkan, hari itu jugalah kali terakhir abah menghubungi ibu, memaklumkan mereka akan pulang hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tapah di sini pada Selasa.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, pemergian bapa dan abangnya dalam nahas itu cukup memberi kesan sehingga mereka hilang semangat untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Katanya, apatah lagi segala persiapan terutama baju Melayu kedua-dua Allahyarham telahpun siap disediakan dengan pakaian sedondon berwarna biru laut.
"Ibulah paling sedih. Kami sudah kehilangan tempat bergantung.
"Raya tahun ini sudah tentu suram dan tidak bermakna apabila mereka meninggalkan kami," katanya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Tai Lama, Pendang, Kedah sebaik proses bedah siasat selesai dijalankan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintenden Mohd Fadzil Ismail berkata, pelanggaran melibatkan dua kenderaan berat tersebut mengakibatkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, pemandu sebuah lagi treler berusia 43 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tapah, Mohd Zulhafiz Zainuddin di talian 017-4006662," katanya. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami