KUALA LUMPUR: Kehadiran bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini dengan memakai baju lokap ungu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tangan bergari adalah atas kehendak beliau sendiri.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Abdul Azeez telah dinasihatkan oleh pegawai SPRM dan polis pengiring serta peguam bela beliau sendiri supaya menukar kepada pakaian biasa selain tidak perlu digari.
"Bagaimanapun, beliau berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan.
"Justeru, SPRM ingin menegaskan bahawa pemakaian baju lokap dan gari terhadap beliau bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak, khususnya SPRM," menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, SPRM meminta orang ramai mengelak membuat sebarang spekulasi tidak berasas atau menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung perkara berkenaan.
Terdahulu, Abdul Azeez didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH bagi mendapatkan suapan jawatan pengerusi di sebuah syarikat dan meyakinkan Ahli Lembaga TH supaya bersetuju meluluskan cadangan pelaburan RM193.5 juta dalam syarikat berkenaan, 12 tahun lepas.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, dan dibenarkan diikat jamin RM450,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap tiga bulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 11 Nov depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
-- BERNAMA