KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi) Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Dr Abdul Rahim Harun dilantik sebagai Ketua Pengarah agensi itu berkuat kuasa 11 April lepas.

Unit Komunikasi Korporat Agensi Nuklear Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan Abdul Rahim adalah bagi menggantikan Dr Siti A'iasah Hashim yang telah bersara pada 1 Jan lepas.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Abdul Rahim adalah berdasarkan kelayakan, pengalaman dan pengetahuan beliau dalam penyelidikan teknologi nuklear.

"Pelantikan ini membolehkan beliau menerajui kepimpinan di Agensi Nuklear Malaysia dan seterusnya meneruskan kecemerlangan dan mencapai matlamat kemajuan pembangunan dan penyelidikan nuklear," menurut kenyataan itu.

Abdul Rahim menerima pendidikan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia pada 1988, Ijazah Sarjana dalam bidang Applied Genetics daripada University Of Birmingham, United Kingdom pada 1998 dan seterusnya Ijazah Kedoktoran dalam bidang genetik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2010.

Beliau merupakan pakar nuklear dalam bidang pembaikan mutasi tanaman dan pernah menjalankan beberapa misi pakar bagi pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Laos dan Mauritius.

Sementara itu, Dr Rosli Darmawan pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi) berkuat kuasa tarikh sama.

Menurut kenyataan itu, Dr Rosli yang berkelulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Putra Malaysia pada 2015, sebelum itu menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Teknikal).

"Beliau merupakan pakar nuklear dalam bidang kemudahan dan utiliti aplikasi nuklear serta sistem keselamatan reaktor nuklear.

"Seluruh warga Nuklear Malaysia mengucapkan tahniah dan diharapkan kepimpinan dua individu terbabit dapat meneruskan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan kemajuan nuklear negara," menurut kenyataan tersebut. - BERNAMA