CHUKAI: Ketika seni pertukangan tradisional semakin dilupakan, Abdul Rahim Abd Razak masih setia menempa besi dan mewarisi kepakaran keluarganya menghasilkan pisau serta parang tradisional Melayu.
Setiap bilah yang dihasilkannya bukan sahaja tajam dan bermutu, malah sarat dengan nilai seni dan identiti budaya Melayu.
Abdul Rahim, 48, dari Kampung Jabur Kubur di sini, berkata kemahiran itu diwarisi daripada arwah datuk, Salleh Mohd dan bapanya, Abd Razak yang suatu ketika dahulu terkenal dengan kepakaran menghasilkan pisau dan parang di Kemaman.
“Darah seni pertukangan ini mengalir dalam diri saya sejak usia belasan tahun lagi, sekali gus mendorong saya meneruskan warisan keluarga sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama.
Sejak berusia 15 tahun, beliau yang sering membantu bapanya di bengkel, berkata pada peringkat awal beliau hanya diajar memotong besi sebelum mempelajari teknik pembuatan pisau dan parang termasuk menempa besi, mengetuk bilah, mencanai serta mengasah sehingga menghasilkan produk bermutu tinggi.
Abdul Rahim berkata beliau terlibat secara sepenuh masa ketika berusia 20 tahun dengan membina bengkel di sebelah rumahnya sehingga sekarang.
Malah, beliau berkata abangnya, Abdul Halim, 50, dan adiknya, Abdul Aziz, 46, turut mewarisi bakat sama serta memiliki bengkel sendiri di kampung itu sebagai usaha mempertahankan warisan keluarga agar tidak terus ditelan zaman.
“Kami tiga beradik juga sering bertukar pendapat dan berkongsi ilmu bagi meningkatkan mutu hasil kerja dalam memastikan kepuasan pelanggan sentiasa terpelihara,” katanya yang mempunyai empat anak berusia empat hingga 18 tahun.
Menjelang sambutan Aidiladha tahun ini, beliau turut menerima tempahan lebih 200 bilah pisau dan parang untuk kerja-kerja penyembelihan, melapah daging serta memotong tulang haiwan korban.
Katanya jenis pisau yang banyak ditempah pelanggan ialah dauh buluh, kakap, jakar, sembong, sepat, siakap, comel, bokok, lurus, aldin dan bullnose.
“Dalam sehari saya mampu menyiapkan dua bilah pisau manakala parang pula sebilah sehari bergantung kepada saiz, reka bentuk dan tahap kesukaran pembuatannya,” katanya.
Abdul Rahim berkata pisau berukuran 12.7 sentimeter (cm) hingga 30.48 cm tanpa hulu dan sarung dijual pada harga antara RM100 hingga RM400 sebilah, manakala harga parang berukuran 30.48 cm hingga 35.56 cm pula berharga RM700 hingga RM900 sebilah.
Selain menerima tempahan dari seluruh negara termasuk Thailand dan Indonesia, beliau berkata pihaknya turut mengambil upah mengasah pisau dan parang.
“Menjelang musim korban ini, saya menerima kira-kira 300 bilah pisau dan parang tumpul, bengkok serta mengalami kerosakan pada bahagian mata untuk dibaiki dan diasah semula,” katanya.
-- BERNAMA