KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pihak penganjur dan mereka yang terlibat dalam sebuah pementasan teater yang tular kerana didakwa memperlekehkan Rukun Negara supaya memberikan penjelasan dan memohon maaf secara terbuka.
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata pementasan teater itu tidak seharusnya dianggap sebagai keberanian berkarya, sebaliknya mencerminkan kecuaian moral yang boleh merendahkan asas kehidupan bersama kalangan rakyat Malaysia.
"Rukun Negara bukan slogan kosong atau bahan lawak pentas. Rukun Negara merupakan ikrar kewarganegaraan yang dibentuk daripada pengalaman getir negara bagi memelihara kesatuan, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dalam masyarakat majmuk," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ABIM sentiasa menghormati kebebasan seni namun kebebasan berkarya bukan bermakna seseorang bebas daripada tanggungjawab.
“Terdapat perbezaan antara mengkritik kegagalan kita menghayati Rukun Negara dengan menjadikan Rukun Negara itu sendiri bahan penghinaan.
“Pihak penganjur dan mereka yang terlibat mesti tampil memberikan penjelasan, memohon maaf secara terbuka serta bertanggungjawab terhadap pementasan tersebut. Pihak berkuasa pula perlu menyiasat perkara ini secara tegas, adil dan berasaskan undang-undang,” katanya.
Ahmad Fahmi berkata ketika negara berdepan polarisasi dan kemerosotan kepercayaan antara masyarakat, pentas seni seharusnya mencerdaskan pemikiran dan menyemai nilai kemanusiaan, bukannya menghakis asas yang menyatukan rakyat.
-- BERNAMA