Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata acara larian dan maraton yang diadakan di negara ini berpontensi dijadikan sebagai produk pelancongan bukan sahaja untuk menarik pelancong domestik malah dari luar negara.

Datuk Seri Najib berkata acara seperti itu juga bukan sahaja mampu menyemarakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat, tetapi juga dapat merangsang pertumbuhan ekonomi setempat apabila peserta yang menyertai acara itu berbelanja di negara ini.

"Lazimnya apabila kita berkata tentang pelancongan, kita sering mengaitkannya dengan pelancong luar negara, tetapi sebenarnya pelancongan domestik juga boleh merangsang penduduk setempat.

"Contohnya apabila larian diadakan di Pekan, orang tempatan kita dari luar datang berbelanja di sini, sama juga faedahnya apabila pelancong asing datang berbelanja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian hadiah Uda Pekan Bridge Run 2016 di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Uda Holdings Berhad Datuk Dr Mohd Shafie Abdullah dan Pengarah Urusan Kumpulan Uda Holdings Datuk Ahmad Abu Bakar.

Datuk Seri Najib yang juga anggota Parlimen Pekan berkata di sesetengah tempat, acara larian atau maraton turut dijadikan sebagai medium untuk mengutip dana bagi aktiviti kebajikan.

Dalam konteks di Pekan sendiri, katanya, acara larian itu secara tidak langsung telah mempopularkan lagi Pekan sebagai destinasi pelancongan di negara ini.

Beliau dalam masa yang sama turut berjanji akan memperbanyak dan menambah baik lagi produk-produk pelancongan di Pekan termasuk dengan memberikan peruntukan tambahan kepada Muzium Sultan Abu Bakar.

Uda Pekan Bridge Run 2016 julung kali diadakan dengan mempertandingkan tiga kategori iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Lelaki Antarabangsa dan Terbuka Wanita dengan larian sejauh lapan kilometer, selain kategori 'Fun Run' sejauh tiga kilometer.

Program larian ini disertai 1,500 peserta dari seluruh negara dengan menawarkan hadiah sebanyak RM1,000 untuk pemenang tempat pertama, tempat kedua RM800, tempat ketiga RM700 diikuti hadiah iringan seperti pingat dan sijil penyertaan. - Bernama