MALAYSIA
ACIIA 2025: Juruaudit dalaman punyai peranan signifikan, pastikan tadbir urus negara terus berkesan – PM Anwar

Menurut Anwar, biarpun juruaudit dalaman tidak selalu kelihatan di dada akhbar atau tajuk utama media, namun golongan tersebut memainkan peranan signifikan dalam mengukuhkan institusi dan mengekalkan pertumbuhan. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Tadbir urus tidak seharusnya dilihat sebagai beban, sebaliknya perlu dianggap sebagai satu aset atau sauh (anchor) kredibiliti dalam pasaran, magnet kepada pelaburan, serta jaminan bahawa kemajuan akan dikongsi secara adil dan saksama, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, tadbir urus yang baik juga adalah tunjang utama untuk memastikan keberkesanan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dibentangkan pada sidang Parlimen yang lepas.
Namun, beliau menegaskan, tanggungjawab untuk melaksanakan tadbir urus yang baik tidak seharusnya disandarkan kepada kerajaan semata-mata, tetapi harus mendapat kerjasama dan sokongan daripada sektor swasta serta badan-badan profesional.
“Dalam hal ini saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM). Pelancaran Panduan Kenyataan Pengurusan Risiko dan Kawalan Dalaman (SORMIC) 2025 bersama Bursa Malaysia adalah satu langkah yang penting.“Ia menyediakan garis panduan kepada firma tentang kesedaran terhadap risiko, mengukuhkan keyakinan pelabur, dan langkah persiapan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta risiko lain yang berbangkit,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Selasa.
Bertemakan “Internal Audit in a Polycrisis Era: Adapting, Assuring, and Advancing”, persidangan itu menerima penyertaan hampir 1,500 profesional tadbir urus dari 26 negara menjadikannya acara audit dalaman terbesar di Asia.
Dalam pada itu, Anwar berkata, biarpun juruaudit dalaman tidak selalu kelihatan di dada akhbar atau tajuk utama media, namun golongan tersebut memainkan peranan signifikan dalam mengukuhkan institusi dan mengekalkan pertumbuhan.
“Hasil kerja anda mungkin jarang menjadi tajuk utama, tetapi ia menjadi tunjang kepada kesihatan pasaran, kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI telah melaksanakan reformasi Malaysia, dengan aspirasi untuk membawa negara lebih dekat dengan status berpendapatan tinggi, selain membina salah satu ekonomi paling berdaya saing di dunia.
Namun, Perdana Menteri menegaskan, aspirasi tidak akan bertahan tanpa keyakinan terhadap institusi, dan di sinilah hadirnya peranan juruaudit dalaman – sama ada dalam sektor awam mahupun swasta – dalam memelihara keyakinan tersebut.
“Itulah sebabnya kerajaan telah memperkukuh mandat Jabatan Audit Negara yang diketuai oleh Ketua Audit Negara, melalui pindaan pertama Akta Audit dalam tempoh 33 tahun. Ia mungkin bukan reformasi yang glamor, tetapi ia amat penting.
“Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Ketidakaturan Serius untuk menangani pelanggaran kritikal dengan pantas.
"Sekali lagi, ia tidak menjadi tajuk utama akhbar, tetapi ia menyentuh inti pati isu: memastikan pelaku bertanggungjawab dan melindungi dana awam,” katanya lagi.
Susulan langkah tersebut, Anwar berkata, sejak tahun 2024, audit susulan telah berjaya mendapatkan semula dan melindungi sebanyak RM159 juta hasil negara.
Perdana Menteri berkata, dalam dunia merentasi era risiko yang bertindih, tadbir urus yang mantap – yang diyakini, stabil dan adil – akan menentukan sama ada sesebuah negara mampu berkembang maju atau sebaliknya.
Jelasnya lagi, tanggungjawab yang terpikul di bahu juruaudit dalaman amat besar, namun peluang yang ada jauh lebih besar - membina institusi yang meraih kepercayaan di dalam negara, dihormati di peringkat antarabangsa, dan mewariskan legasi integriti kepada generasi akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami