Polis mendapati ada warga Malaysia yang telah menyertai gerakan pejuang Islamic State (IS) di Syria cuba untuk pulang ke tanah air untuk berhari raya.

Bagaimanapun menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay, hasrat itu nyata sukar kerana ia segala dokumen pengenalan diri dan pasport mereka telah dihapuskan ketika menyertai kumpulan itu.

"Memang ada cubaan, tapi mustahil mereka untuk kembali kerana tiada ruang untuk sebarang bantuan ekoran tiada kedutaan Malaysia di Syria.

Bagaimanapun sekiranya ada antara mereka yang berjaya pulang ke negara ini, kita tidak akan bertolak ansur dengan melakukan tangkapan", tegasnya dalam sidang media selepas merasmikan program latihan Cartified Anti-Terrorism Specialist (C.A.T.S.) di Palace of the Golden Horses di Seri Kembangan pada Isnin.

Setakat ini, lapan anggota IS warga Malaysia yang didapati kembali ke tanah air telah ditangkap dan didakwa di mahkamah.

"Sebab itu saya sentiasa tegaskan kepada masyarakat umum bahawa jangan sesekali menyertai IS kerana ia bagaikan 'tiket sehala'. Sekali anda melangkah ke sana, tiada jalan kembali," ujarnya.

Dalam pada itu, Ayub Khan memaklumkan, pihak polis akan meningkatkan kerjasama risikan dengan negara serantau bagi mengesan sebarang aktiviti berunsur keganasan di media sosial.

Ini kerana medium itu ketika ini sedang giat digunakan pemimpin IS untuk menyebarkan ideologinya ke serata dunia.

"Ini amat membimbangkan kerana modus operandi yang digunapakai ini sukar untuk dikesan. Ketika ini mereka mengenalpasti individu yang cenderung untuk menyertai IS menerusi Internet dan mereka boleh berhubung secara terus.

Beliau memaklumkan, tangkapan yang dibuat terhadap seorang suspek pada bulan lepas membuktikan bahawa pergerakan mereka ini secara sulit dan di luar jangkaan.

"Suspek ini tidak pernah berada dalam radar pemantauan kami. Setelah disoal siasat, didapati suspek telah dihubungi terus oleh salah seorang pemimpin kanan IS di Syria dan mengarahkannya untuk melancarkan serangan secara bersendirian.

"Modus operandi ini boleh dinamakan 'lone wolf'. Mereka mendapat arahan melalui media sosial dan tidak perlu datang ke Syria untuk 'berjuang'. Hanya lancarkan serangan di negara masing-masing", jelasnya.

Menurutnya lagi, adalah sukar untuk menyekat sepenuhnya akses kepada laman sosial dan laman web yang dikesan mengwar-warkan ideologi berkaitan keganasan kerana kesemuanya berpusat di luar negara.

Bagaimanapun Ayub Khan turut menjelaskan pihaknya akan terus menjalankan pemantauan bagi menutup segala bentuk ruang dan peluang yang boleh digunakan untuk mereka menjalankan aktiviti yang menganggu ketenteraman dan kesejahteraan negara.