NATIONAL
Ada PATI cuba masuk ke Malaysia - KPN

ABDUL HAMID: Kami juga akan melakukan pemantauan di jeti berhampiran sempadan bagi mengelak kemasukan warga asing yang boleh mengundang penularan wabak COVID-19. - Gambar fail
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba masuk ke negara ini secara senyap-senyap melalui jeti yang terdapat di sempadan negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ia berikutan polis telah menahan lima lelaki serta seorang wanita warga Bangladesh dan Myanmar antara 19 hingga 23 Mac lepas yang cuba masuk ke Malaysia melalui Padang Besar, Perlis.
"Berdasarkan trend ini, kami juga akan melakukan pemantauan di jeti berhampiran sempadan bagi mengelak kemasukan warga asing yang boleh mengundang penularan wabak COVID-19,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata petugas media dibenarkan membuat liputan secara langsung di lokasi sekatan jalan raya dengan mematuhi prosedur operasi standard dan ia tidak menjadi isu kepada PDRM.
“Perkara itu bergantung kepada budi bicara petugas media sama ada mereka hendak buat (liputan) atau tidak, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami