Budaya kerja dan pemikiran masyarakat Jepun, terutama sekali sewaktu membangunkan dan membina semula negara mereka yang hampir musnah akibat peperangan dahulu, merupakan sesuatu yang harus diberi perhatian rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Shinzo Abe hari ini, Dr Mahathir berkata, beliau percaya ada sesuatu yang terkandung dalam budaya Jepun, serta nilai sistem mereka, yang telah mempercepatkan proses pemulihan, serta mampu berdiri sama tinggi dengan negara barat.

"Saya sudah menjelajah ke banyak negara. Ada negara yang tidak mampu membangun, ada negara yang sudah jauh lebih moden. Dan saya percaya ini bergantung kepada karakter masyarakat di negara itu sendiri.

"Ilmu pengetahuan sangat penting, tetapi pembangunan sahsiah juga sama penting. Jika mereka mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, tetapi mereka mengikuti nilai sistem yang salah, maka kemungkinan besar ilmu itu akan disalahgunakan," katanya kepada sidang media bersama Abe di Pejabat Perdana Menteri di Tokyo.

BACA: Jepun komited bantu laksanakan Dasar Pandang ke Timur

Dr Mahathir berkata, atas sebab itu beliau mempunyai hasrat untuk melaksanakan semula Dasar Pandang ke Timur yang beliau sendiri ilhamkan pada 1981.

"Melalui dasar ini, kita akan cuba mempelajari nilai dan budaya masyarakat Jepun, melalui sektor pendidikan bermula di zaman pra-sekolah mereka sehinggalah ke zaman pengajian tinggi," katanya lagi.

Dalam pada itu Dr Mahathir berkata, Malaysia berkongsi pandangan yang serupa dengan Jepun mengenai situasi di Laut China Selatan, serta isu berkaitan Korea Utara.

"Saya percaya kami boleh bekerja sama dalam usaha memastikan kestabilan dan keamanan di rantau ini," katanya lagi.

Mengenai persetujuan Jepun dalam Bon Samurai, Dr Mahathir berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa Abe dan Kerajaan Jepun sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada Malaysia, sama ada berkaitan kewangan, atau bantuan nasihat, sekiranya diperlukan.

Selain itu Dr Mahathir turut menzahirkan penghargaan di atas kesudian Jepun menghantar pakar pengangkutan mereka, khususnya dari JR Kyushu dan JR Freight untuk mempertingkatkan kualiti pengangkutan di Malaysia.

Terdahulu, beliau turut berterima kasih kepada Jepun di atas darjah kebesaran the Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers, yang dianugerahkan Maharaja Akihito di Istana Imperial, awal hari ini.