MCA adalah satu-satunya parti yang banyak berjasa kepada masyarakat Cina khususnya dalam bidang pendidikan, biarpun ada pihak tertentu yang secara berterusan memburuk-burukkan parti itu.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerana adanya bantuan MCA, masyarakat Cina telah dapat menyaksikan sebanyak 25 sekolah Cina dibina di negeri ini.

Katanya, lebih penting pembinaan sekolah itu juga bukan hanya dilakukan ketika hendak pilihan raya.

"Ada pihak yang kata MCA 'buruk' tetapi seburuk-buruk MCA, mereka berjasa kepada masyarakat Cina.

"Berbeza dengan parti itu (DAP)... dulu kata PAS adalah segala-galanya iaitu PAS ialah cinta hati, molek dan cantik, tetapi menceraikannya lima tahun kemudian dan mengambil seorang yang berusia 93 tahun.

"Namun, MCA tidak pernah tukar pasangan. Mereka tahu peranan, kekal dalam BN dan berjuang untuk hak orang Cina," katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Grisek di Eco Tropics, Pusat Perniagaan Eco World di sini, hari ini.

Justeru itu, dalam sidang media, Mohamed Khaled meminta pengundi agar memberikan sokongan kepada calon BN daripada MCA pada pilihan raya umum ke-14 nanti bagi memastikan parti itu terus ada dalam kerajaan.

"Dalam keadaan Johor berkembang begitu pesat, kita perlu mendapat input mengenai keperluan, cabaran dan masalah semua kaum termasuk masyarakat Cina

"Kalau tidak, kita tidak akan tahu apa kehendak dan keperluan, tambahan pula pembangunan yang hendak kita bawa adalah seimbang, ianya bukan sekadar pembangunan fizikal," katanya.

Menyentuh isu lain, beliau berkata kegagalan pihak pembangkang menawarkan manifesto pilihan raya yang holisitik kepada rakyat membuktikan mereka tidak boleh setuju dalam banyak perkara.

Katanya, di peringkat pusat, manifesto BN menawarkan sebanyak 300 perkara dan 230 tawaran di peringkat negeri berbanding hanya 60 tawaran oleh PH di peringkat pusat dan 20 di peringkat negeri.

"Mengapa begitu? ...kerana kesepakatan kita dalam banyak perkara secara meluas tetapi di sana (PH), dia tidak boleh bersetuju dalam banyak perkara.

"Dia tidak mula bercakap untuk benda-benda yang serius sebab itu akan menyebabkan mereka tidak boleh duduk bersama. Mana mungkin hendak bangunkan sebuah negara seperti Malaysia yang sedang berkembang dengan begitu pesat hanya dengan tawaran 60 perkara?

"Mana mungkin negeri johor ini hanya 20 perkara? Mereka tidak boleh duduk bersama untuk bersetuju dalam banyak perkara kerana kita tahu DAP siapa dan kita pun tahu parti-parti yang dekat situ siapa. Mereka tidak akan ada persetujuan bersama," katanya.

Terdahulu, beliau berkata BN negeri belum lagi mendapat senarai nama calon yang diluluskan pucuk kepimpinan.

"Apabila dapat senarai, saya akan adakan sesi untuk mengumumkan nama calon," katanya.

--BERNAMA