PETALING JAYA:Gara-gara tidak puas hati dengan syarikat insurans berikutan urusan tuntutan, seorang pelaras insurans bertindak membakar lima buah kenderaan di Jalan PJU/1A/1 Ara Damansara di sini, pada Jumaat.

Antara kenderaan tersebut adalah kereta BMW, Proton Persona, Proton Wira, Honda City dan sebuah lori Isuzu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faizal berkata, sebaik menerima panggilan daripada salah seorang penduduk kira-kira pukul 12.05 tengah malam, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian.


"Berdasarkan maklumat orang ramai, kami menahan seorang adjuster warga tempatan berusia 35 tahun selepas disyaki terlibat dalam kejadian itu.

"Hasil siasatan mendapati, suspek berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan sebuah syarikat insurans membabitkan tuntutan insuransnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Nik Ezanee berkata, suspek kini ditahan reman selama tiga hari bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dijalankan.