MALAYSIA
Aduan pencemaran habuk hitam, JAS siasat kilang di Kawasan Perindustrian Kamunting

Pengarah JAS Perak Datuk Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata operasi penguatkuasaan ke atas kilang yang disyaki itu juga telah diambil. - Bernama
TAIPING: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak mula menjalankan siasatan susulan aduan penduduk di sekitar Tekkah di sini yang terjejas akibat pencemaran habuk hitam dipercayai berpunca daripada operasi sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kamunting sejak seminggu lepas.
Pengarah JAS Perak Datuk Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata operasi penguatkuasaan ke atas kilang yang disyaki itu juga telah diambil dengan pihaknya masih menunggu keputusan laporan analisis Jabatan Kimia yang akan diperoleh dalam masa terdekat.
"Tindakan penguatkuasaan tegas akan dilaksanakan bagi ketidakpatuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2024 ke atas premis yang terlibat menyebabkan pencemaran habuk hitam," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim yang juga ADUN Aulong.Beliau berkata JAS juga memantau menggunakan dron di kawasan berpotensi menyebabkan pencemaran dalam radius lima kilometer dari lokasi aduan penduduk di samping menggunakan Alat Pemantauan Kualiti Udara (GRIMM) dan Portable Multigas Analyzer CEREX di dua lokasi sejak 6 Ogos.
"Pemerhatian mendapati tiada bau, asap, habuk atau pembakaran terbuka berlaku semasa kerja-kerja pemantauan.
"Analisis data pemantauan udara yang dilaksanakan pada 6 Ogos hingga semalam mendapati hanya terdapat dua bacaan gas yang dominan yang dicatatkan iaitu gas asetilena dan hidrogen sianida," katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Assam Kumbang Sharudin Ahmad Sani berkata penduduk terpaksa menutup tingkap apabila angin bertiup kerana habuk hitam itu akan memasuki kawasan kediaman dalam kuantiti yang sangat banyak.
"Apabila habuk hitam itu terlampau banyak, ia menimbulkan bau busuk dan habuk itu juga hilang semasa hujan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami