KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan dilaporkan positif COVID-19 selepas membuat saringan di Klinik Kesihatan Kampung Gial, Arau pada Isnin.

Dalam kiriman mesej kepada Astro AWANI, Gan Ay Ling berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa seorang penduduk yang ditemuinya pada 8 Ogos lalu disahkan positif COVID-19 menyebabkannya segera melakukan ujian saringan.

Sebaik mendapat keputusan ujian saringan itu, Ay Ling telah mengamalkan pengasingan kendiri sebagai langkah berjaga-jaga dan akan meneruskannya sehingga habis tempoh jangkitan.

Sehubungan itu, Pusat Komuniti DUN Indera Kayangan juga ditutup sementara.

Semua pihak yang mempunyai kontak rapatnya dengannya dimohon untuk menjalani saringan di klinik kesihatan terdekat.

Sebelum disahkan positif COVID-19, Ay Ling, yang dipercayai sudah lengkap dua dos vaksin pada 11 Jun lalu, dilaporkan turun padang bagi menghantar bantuan kepada penduduk di kawasan Kangar yang terjejas dengan gangguan bekalan air.