Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor mempertikaikan tindakan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor yang tidak atau menolak usul kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Penyelaras SAMM Johor, Roslee Mohd Shariff berkata kelulusan kenaikan gaji bukanlah keputusan eksekutif semata-mata sebaliknya merupakan keputusan kolektif kesemua ADUN Selangor.

“Mereka mengundi untuk meluluskan usul kenaikan namun apabila berhadapan dengan media, BBC membuat kenyataan berlainan dan meletakkan semua beban kesalahan kepada Menteri Besar seorang.

“Adakah BBC berpandangan bahawa Dewan Dun itu adalah seperti sebuah set penggambaran drama?,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, ADUN Sungai Pinang Teng Chang Khim mendakwa Pengerusi BBC Selangor, Azmin Ali berada di dalam ketika usul kenaikan gaji dibahaskan.

Malah Chang Kim mendakwa Azmin hanya diam ketika usul tersebut dibentang untuk perbahasan sebelum diluluskan oleh DUN Selangor.

"Apabila rang undang-undang yang telah dibentang, dibahas dan diluluskan, beliau (Azmin) ada dalam Dewan. Dia tak bercakap sepatah pun...

"Kecuali dua wakil rakyat, Sekinchan (Ng Suee Lim) dan Kampung Tunku (Lau Weng San) yang bercakap menyokong rang undang-undang tersebut, yang lainnya yang hadir dalam sesi perbahasan itu tidak bercakap membantahnya.

"Malah pada peringkat ketiga bacaannya, mereka duduk dalam Dewan. Jadi mereka tidak boleh kata yang mereka tidak bersetuju sekarag," katanya kepada wartawan hari ini.

Pada Khamis, Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa meminta supaya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menangguhkan kenaikan gaji ADUN negeri tersebut yang dijadualkan berkuatkuasa Januari depan.

Azmin berkata biarpun BBC tidak menolak kenaikan gaji tersebut, kadar yang diumumkan itu adalah terlalu tinggi.

"Kita tidak tahu bagaimana pelaksanaannya dan kerajaan negeri sudah umumkan semalam. Tidak ada perbincangan langsung yang dibuat bersama BBC," katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Gombak dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Sebelum itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenaikan gaji itu terlalu tinggi dan menyarankan Khalid supaya mencari jalan untuk mengkaji semula kenaikan gaji tersebut.

DUN Selangor pada Rabu meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 anggota DUN berkuat kuasa Januari 1 depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan ADUN daripada RM6,000 kepada RM11,250.

Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.

Abdul Khalid ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata mesyuarat exco pada November 22 bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75% daripada elaun dan gaji yang diterima ADUN dan anggota pentadbiran Sarawak.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali menyifatkan kenaikan gaji yang diumumkan Khalid itu sebagai luar biasa dan boleh dicatatkan dalam rekod dunia.

Bagaimanapun, Khalid pada Khamis menegaskan kenaikan gaji yang diluluskan oleh DUN Selangor pada Rabu tetap akan diteruskan.

Kenaikan gaji yang diluluskan oleh DUN Selangor itu turut mendapat sokongan Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), yang berpendapat ADUN Selangor adalah wajar supaya ia setara dengan tanggunjawab mereka.

Pengarah Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan berkata, gaji yang mereka perolehi perlu sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul kerana kuasa dan dana mereka pegang amatlah besar.