MALAYSIA
AFR: 10 kapal perang ASEAN lintasi Selat Utara, Pulau Pinang

Acara itu diadakan sempena Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19, melibatkan 10 kapal - tujuh kapal perang tentera laut serantau dan tiga kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). - Bernama
GEORGE TOWN: Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) di Pulau Pinang hari ini sekali lagi menjadi pentas bagi perbarisan armada ASEAN Fleet Review (AFR) 2025, mencipta sejarah tersendiri dalam tradisi tentera laut serantau.
Ringkasan AI
- Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham menjadi lokasi ASEAN Fleet Review (AFR) 2025 sempena Mesyuarat Panglima Tentera Laut ASEAN ke-19, melibatkan 10 kapal perang dari negara serantau termasuk tiga aset TLDM.
- Perbarisan armada disertai lintasan udara oleh aset TLDM dan disaksikan orang ramai di sekitar Padang Kota Lama dan NBCT, menjadikan acara ini kemuncak aktiviti ketenteraan maritim terbesar di Pulau Pinang.
- AFR merupakan sebahagian daripada tiga acara utama sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, bersama ANCM ke-19 dan AMNEX ketiga, serta disertai persidangan dan perarakan tentera laut yang mengimbau IRFR 1990.
Berpangkalan di Lumut, Perak, kapal ini dikendalikan oleh 164 pegawai dan anggota, diketuai Kapten Mahamad Nazir Darus.
Mengiringi KD Lekiu ialah KBD Darulaman dari Brunei, KRI Bung Tomo (Indonesia), UMS King Sin Phyu Shin (Myanmar) dan BRP Antonio Luna (Filipina).
Kumpulan kedua perbarisan diketuai KD Lekir, diikuti kapal perang dari Singapura (RSS Vigour), Thailand (HTMS Krabi), Vietnam (VPNS Quang Trang) dan diakhiri dengan KD Kedah.
Selepas lintasan kapal, tetamu dijamu dengan acara fly-past oleh empat aset udara TLDM iaitu AW139, Super Lynx Mk 100 dan dua AS55 Fennec.
Acara selama kira-kira 50 minit itu turut dapat disaksikan rakyat Pulau Pinang berhampiran Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) dan Padang Kota Lama.
Tinjauan Bernama di Padang Kota Lama mendapati orang ramai, termasuk pelancong asing, tidak melepaskan peluang menyaksikan perbarisan kapal-kapal ASEAN serta merakam gambar kenang-kenangan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja ANCM, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin, berkata AFR merupakan kemuncak aktiviti sepanjang seminggu acara ketenteraan maritim terbesar di Pulau Pinang.
"Semua kapal TLDM dan negara ASEAN membuat perlayaran dalam bentuk formasi di Selat Utara dan boleh disaksikan oleh semua rakyat Pulau Pinang dari Butterworth dan George Town," katanya.
Acara tersebut disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib yang turut menerima tabik hormat daripada setiap kapal dan dihadiri ketua-ketua tentera laut ASEAN, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail serta Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.
Pulau Pinang menjadi pentas utama kepada acara ketenteraan maritim terbesar di rantau ini anjuran TLDM bermula 15 Ogos sehingga esok, melibatkan tiga acara utama sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
AFR meruapakan antara acara disamping ANCM ke-19 dan Eksais Tentera Laut Multilateral ASEAN (AMNEX) ketiga yang telah berlangsung di sekitar George Town dan Batu Ferringhi.
Selain itu, turut diadakan Persidangan Kejuruteraan Tentera Laut (NEC) dan ASEAN Navies' City Parade (ANCP) yang mengimbau International Royal Fleet Review (IRFR) 1990 dengan 59 kapal perang dan 11,000 warga tentera laut dari pelbagai negara.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami