KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan segera meneliti Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 untuk menentukan sama ada terdapat pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan.
AGC dalam satu kenyataan memaklumkan, jabatan itu menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk mengelaskan semula laporan RCI berkenaan dan mendedahkannya kepada umum.
Menurut AGC, jabatan itu memandang serius penemuan yang terkandung dalam laporan berhubung aspek pengurusan, pelaburan serta dakwaan salah laku membabitkan Tabung Haji.
“Jabatan ini akan mengambil tindakan segera meneliti laporan berkenaan bagi memastikan segala aspek siasatan oleh badan-badan penguat kuasa dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan komprehensif.
“Ia bagi membolehkan pertimbangan sewajarnya dibuat untuk menentukan sama ada wujud sebarang pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan pendakwaan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
AGC menjelaskan, komitmen tersebut selaras dengan tanggungjawab perlembagaannya untuk memastikan setiap siasatan dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang serta bukti yang diperoleh.
"Sebarang keputusan pendakwaan akan dibuat berasaskan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima di mahkamah tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam.
"Orang ramai dinasitkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan proses siasatan.
"Langkah itu penting bagi memelihara integriti siasatan serta mengekalkan keyakinan terhadap kewibawaan dan kelangsungan peranan Lembaga Tabung Haji seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995," jelas kenyataan itu.