KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyambut keputusan pengampunan bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan penuh kesyukuran, ketenangan dan adab serta menghormati segala syarat dan proses yang telah ditetapkan.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, seluruh pimpinan Dewan Tertinggi, parti-parti komponen serta Friends of BN turut menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas limpah memperkenan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman tahanan di rumah.
Dalam menelusuri perkembangan itu, Zambry berkata BN akan terus berpegang teguh pada prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang yang menjadi tunjang keamanan, kestabilan serta kemakmuran negara.
“Keputusan ini amat besar maknanya kepada Datuk Seri Najib dan keluarga beliau, malah kepada seluruh keluarga besar BN yang sentiasa menitipkan doa dan mengharapkan agar segala urusan beliau diberi kelancaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara, pagi tadi.
-- BERNAMA