Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: Sabah harap inisiatif premis tamu desa diteruskan - Ewon

SANDAKAN, 18 Sept - Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick (tengah) mencuba buah tarap ketika melawat gerai jualan sebelum merasmikan Premis Tamu Desa Kampung Ulu Dusun sempena program Usahawan Tempatan Sabah First hari ini. Turut hadir Pengerusi Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad (KOULIS) Dr Peter Jr Naintin (kanan). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick (tengah) mencuba buah tarap ketika melawat gerai jualan sebelum merasmikan Premis Tamu Desa Kampung Ulu Dusun sempena program Usahawan Tempatan Sabah First hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan diharap dapat meneruskan peruntukan bagi inisiatif premis tamu desa pada Belanjawan 2027 sebagai usaha memperkasakan aktiviti ekonomi luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif itu wajar diteruskan, memandangkan aktiviti tamu di kampung begitu sinonim dengan negeri ini.

“Sabah mempunyai sekitar 3,000 kampung yang ada pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan saya percaya sebahagian besar daripada kampung-kampung ini, mempunyai tamu mingguan diadakan sekali seminggu.

“Apabila ada inisiatif seperti ini diteruskan, kemudahan premis tamu desa itu tidak hanya digunakan untuk tamu mingguan semata-mata, tetapi berpotensi dimanfaatkan untuk program lain seperti mesyuarat agensi Amanah Ikhtiar Malaysia, Jualan Rahmah MADANl atau acara rakyat misalnya perkahwinan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawan dan Pengangkutan Sabah berkata demikian kepada pemberita, selepas merasmikan premis tamu desa Kampung Ulu Dusun sempena Program Usahawan Tempatan Sabah First di sini hari ini.

Ewon berkata perkara itu sudah dikemukakan kepada menteri, timbalan menteri dan ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), baru-baru ini.

Beliau berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi perhatian untuk meneruskan inisiatif berkenaan.

“Berdasarkan pengalaman semasa menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya banyak melawat tamu-tamu dan selepas premis ini disediakan, terbukti membawa impak besar kepada usahawan kecil khususnya golongan wanita dan ibu yang berniaga di tamu mingguan. Premis ini memberi keselesaan dan perniagaan tidak terjejas jika hujan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad Dr Peter Naintin berkata inisiatif premis tamu desa itu, memberi ruang kepada usahawan kecil termasuk penjaja tepi jalan berniaga dalam keadaan selesa serta selamat.

“Kita mahu memastikan hak usahawan juga terbela dari segi keselamatan, selain peningkatan pendapatan. Kita berharap pada tahun depan satu lagi premis tamu desa dibina di Kampung Jaya Bakti di sini, kebanyakan usahawan ini terdiri daripada para ibu yang mahu meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement