KETIKA hampir semua syarikat penerbitan dan pengamal media beralih arah ke media dalam talian, Enigma Fikir Sdn Bhd memberanikan diri menerbit majalah bercetak.

Syarikat tersebut mengambil risiko tinggi menerbitkan majalah Agenda Massa, ketika sejarah membuktikan bahawa penerbitan majalah bercetak akhirnya menemui kegagalan.

Namun Pengarang Eksekutif Agenda Massa, Ab Jalil Backer tidak menganggap episod sedih penerbitan majalah berbahasa Melayu secara bercetak ini sebagai halangan untuk Enigma Fikir kembali ke penerbitan secara fizikal.

Tidak banyak majalah bercetak yang mampu merentas beberapa dekad kecuali Dewan Masyarakat dan beberapa majalah lain yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

"Risiko terbesar majalah dalam Bahasa Melayu bukan sahaja sukar mendapat pembeli, malah ia adalah pilihan terakhir pengiklan besar.

"Namun bak kata pepatah Melayu, jika tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya.

"Seiring slogan 'sorotan realiti', majalah ini berhasrat untuk menghidupkan semula budaya berfikir dan menerima maklumat secara bebas tanpa emosi melulu, dan taksub berpartisan," katanya.

Ab Jalil menjelaskan, Agenda Massa berhasrat menjadi sebuah penerbitan yang mampu memberi perspektif berbeza kepada masyarakat, berbanding media dalam talian yang kini lebih banyak memberi tumpuan kepada sensasi untuk menarik pembaca hingga ada ketikanya melanggar etika penulisan berita.

"Agenda Massa akan cuba hadir setiap dua minggu untuk tatapan pembaca. Kami berharap sokongan anda untuk meneruskan kelangsungan penerbitan dalam Bahasa Melayu ini," katanya lagi.

Dalam edisi pertama Agenda Massa memilih tema 'Jajaran Baharu Politik' sebagai fokus utama mengisi majalah 48 muka surat ini.

Selain itu, majalah ini juga turut memberi tumpuan kepada isu ekonomi, sastera dan drama serta fokus isu-isu semasa.

Untuk ruangan Sastera dan Drama, Agenda Massa memberi ruang kepada essei dari pengarah tersohor U-Wei Haji Saari yang menulis tentang peranan seniman sebagai pengarah filem dalam krisis.

Manakala bagi isu semasa, fokus diberikan kepada COVID-19 dan vaksin, sementara ekonomi pula menyentuh tentang projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).